PETALING JAYA: Penyanyi popular era-80an, Zaiton Sameon terkilan apabila ada segelintir pihak yang menghina dan mengecam tindakannya meminta bantuan selepas mengadu tiada punca pendapatan lagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zaiton, 67, berkata, dia sudah lama menanggung kesakitan dan simpanannya sepanjang bergelar artis popular satu ketika dahulu sudah habis digunakan bagi tujuan rawatan serta kehidupan.
“Memang ada yang cakap, kenapa masa muda tak menyimpan. Bila tua minta simpati dan sedekah. Sampai hati hina saya macam itu, saya tidak pernah minta bantuan sehingga susahkan orang lain.
“Kalau kena pada diri sendiri, macam mana? Ini adalah ujian tuhan untuk saya. Kalau ada yang kurang berkenan, tak apalah. Saya minta maaf. Saya sendiri pun terdesak. Terkilan bila ada yang hina saya begini. Sedih rasa saya diperlakukan begini. Tak apalah, setiap kita ada masa sendiri. Tuhan itu Maha Adil,” katanya.
Penyanyi Menaruh Harapan itu sebelum ini mendedahkan dia sudah tidak menerima sebarang tawaran persembahan dan tidak mempunyai pendapatan sehingga terpaksa meminta bantuan.
Pendedahan tersebut menarik perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan sumbangan terus kepada penyanyi tersebut selain meminta Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) menyegerakan proses bantuan.
Dalam pada itu, kongsi Zaiton, selepas berita dia memerlukan bantuan itu tular, ramai pihak mula menghubunginya untuk menyalurkan pertolongan dan tawaran persembahan juga sudah mula ada.
“Saya memang ada masalah kesihatan tetapi nak buat macam mana, kena menyanyi juga untuk sara hidup. Sebelum ini, adalah juga tawaran tetapi di majlis orang kahwin sahaja.
“Selepas tular, baru ada pihak yang datang beri bantuan dan ada juga tawaran persembahan. Alhamdulillah, ada rezeki lagi untuk saya,” ujarnya. – UTUSAN








