Jangan mudah jatuh hukum haram hanya kerana berbeza politik

Jangan mudah jatuh hukum haram hanya kerana berbeza politik

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana pihak terutama pemimpin parti politik diminta tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan hukum berkaitan syarak tanpa disiplin sepatutnya semata-mata berbeza fahaman politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, beliau bimbang kecenderungan pihak tertentu yang bertindak sedemikian kerana ia boleh menimbulkan salah faham dalam masyarakat sekali gus mencemar kesucian ajaran Islam.

Beliau berkata, terbaharu tular berkaitan kenyataan seorang pemimpin politik yang menyatakan hukum haram memberikan undi kepada seorang calon yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

“​Penggunaaan istilah Haram mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka boleh didefinisikan kepada enam maksud.

“Walau bagaimanapun, umumnya masyarakat di Malaysia mengaitkan penggunaan istilah haram dengan hukum syarak iaitu ‘hukum tegahan (dalam Islam) yang dijanjikan ganjaran pahala bagi orang mematuhinya dan dosa bagi orang meng­ingkarinya’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan haram hukumnya bagi mereka yang mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat, pada PRK Parlimen Pulai.

Muhyiddin mendakwa, ia sebagai menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan Kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan.

​Justeru, Mohd. Na’im berkata, selaku badan yang diberi amanah dalam menjaga dan memelihara kesucian agama Islam di negara ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat khuatir dengan tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan kenyataan bersifat menghukum pihak-pihak yang tidak sealiran fahaman dengan kumpulan masing-masing.

Tegasnya, situasi ini akan mencetuskan bibit-bibit perpecahan lebih serius dan mengancam keselamatan negara.

“Negara kita mempunyai pihak berautoriti dalam mengeluarkan pandangan hukum atau fatwa mengenai sesuatu perkara.

“Saya berharap agar kita semua menghormati pihak berautoriti dan tidak terpengaruh dengan hukum-hukum yang dikeluarkan untuk tujuan kepentingan politik kumpulan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan semua pihak yang terlibat dalam PRK kali ini untuk bersaing secara sihat dengan mengemukakan buah fikiran serta idea-idea untuk membangunkan rakyat.

Jelasnya, segala kempen yang menyentuh sentimen keagamaan dan perkauman perlu dihentikan.

“​Saya menyeru semua pihak agar bertanggungjawab menghormati kesucian agama Islam, menjaga perpaduan dan keamanan masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam negara yang tercinta ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya