Isu Zahid: PN mahu Parlimen bahas usul tergempar

Isu Zahid: PN mahu Parlimen bahas usul tergempar

WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan menjadikan sidang Parlimen hari ini untuk menggesa usul tergempar bagi memanggil Peguam Negara susulan keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.

Tindakan tersebut untuk membolehkan Peguam Negara memberi penjelasan terperinci berhubung keputusan memohon DNAA terhadap Timbalan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perkara itu akan dibangkitkan di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat pada pukul 10 pagi, bagi mendapatkan pengesahan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sama ada usul itu diterima atau sebaliknya.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya masih belum mendapat jawapan balas daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhu­bung surat yang diutuskannya Jumaat lalu memandangkan cuti hujung minggu dan belum mencapai tempoh 24 jam hari bekerja.

“Saya dimaklumkan bahawa Yang Dipertua (Dewan Rakyat) mahu berjumpa saya pada pukul 9 pagi esok (ini). Wallahualam sebab apa tapi saya akan pergi dan dengar apa yang beliau ingin katakan.

“Bagaimanapun, saya tetap akan bangun pada jam 10 pagi (hari ini) untuk membawa usul ini,” katanya dalam sidang akhbar kempen Gerakan Selamatkan Malaysia di sini, semalam.

Jumaat lalu, Wan Ahmad Fayhsal mengemukakan usul tergempar bagi meminta sidang Dewan Rakyat, esok ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat untuk memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan penarikan balik 47 pertuduhan ke atas Ahmad Zahid.

Katanya, usul ini adalah perkara tertentu kerana Dewan Rakyat berhak mengetahui pe­rincian dan asas keputusan ber­kenaan kerana Timbalan Perdana Menteri adalah seorang anggota pentadbiran kanan Ke­rajaan Persekutuan dan seorang Ahli Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, kelmarin, Per­­dana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan mahkamah itu tidak boleh dibahas pada sidang khas berkenaan kerana platform Parlimen tidak boleh ditukar untuk berperanan sebagai sebuah mahkamah bagi membincangkan mengenai ke­putusan mahkamah.

Mesyuarat Khas Dewan Rak­yat yang bersidang enam hari bermula hari ini akan menumpukan kepada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) oleh Perdana Menteri.

Pada 4 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timba­lan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding kes berkenaan pada peringkat membela diri.

Beliau membenarkan permohonan AGC supaya prosiding perbicaraan diberhentikan bagi semua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN