Warisan bimbang individu dua kerakyatan dikecualikan imigresen

Isu dua kerakyatan dibimbangi bawa kesan mudarat, bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Warisan (Warisan) berpendapat, isu dua kewarganegaraan akan mewujudkan masalah kerana seseorang yang mempunyai lebih dari satu kerakyatan mungkin dikecualikan dari undang-undang imigresen di kedua-dua negara ‘dimilikinya’. 

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, jika berlaku, ini boleh menyebabkan ramai kemasukan orang yang mungkin menjejaskan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. 

“Buat masa ini, visa-visa sementara dikeluarkan di kebanyakan negara sudah memadai untuk membenarkan kependudukan sementara bagi menjalankan aktiviti perniagaan kepada golongan profesional bekerja dan mencari pendapatan. 

“Keadaan ini juga akan menyebabkan brain drain di negara berkaitan kerana tenaga kerja terlatih dan mahir yang dilahirkan di negara kerakyatan asal mungkin berkurang akibat penghijrahan ke negara-negara yang menawarkan peluang lebih baik seperti dua kewarganegaraan.

“Ini juga melibatkan isu keselamatan kerana dua kewarganegaraan berisiko untuk kedua-dua negara kerana mereka bebas memilih untuk mempunyai kesetiaan berbelah bahagi kecualilah terdapat perakuan atau perjanjian dibawa ke mahkamah untuk diambil tindakan jika melanggar syarat ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan dengan rakyat Malaysia di New York, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berkata, soal pemilikan dua kerakyatan akan dibincang lebih lanjut dengan menilai implikasi pelaksanaannya kerana ia akan membabitkan keputusan dasar utama.

Anwar yang berada di AS sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 ketika itu berkata, Menteri Luar dan Menteri Dalam Negeri akan menyediakan kertas kerja serta akan membincangkan implikasinya. 

“Buat masa ini, kami tidak memihak tetapi oleh kerana ada permintaan, kami akan melihatnya dan lihat sama ada kami perlu menyesuaikan atau tidak,” kata Anwar. 

Menurut laman rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), proses memperoleh semula taraf kewarganegaraan bagi mereka yang sudah dilucut atau menolak kewarganegaraan Malaysia, perlu mendapatkan kelulusan Kerajaan Persekutuan mengikut Perkara 18(2) Perlembagaan Persekutuan sebelum boleh didaftarkan semula sebagai warganegara.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie juga Ahli Parlimen Semporna itu berkata, masalah dua kewarganegaraan menyentuh soal kesetiaan kerana seseorang itu mungkin tidak akan setia sepenuhnya kepada mana-mana negara asal dan kerakyatan negara yang baru dimohon. 

“Isu kesetiaan ini berkait dengan Perlembagaan dan perundangan di peringkat Persekutuan dan negeri yang mengamalkan undang-undang berbeza. 

“Mungkin ada insiden menyaksikan dua kewarganegaraan ini menyebabkan seseorang hilang kepercayaan kepada kedua-dua negara. 

“Contohnya, pemilikan ekuiti, aset, hak menjalankan dan pemilikan perniagaan atau jika ada perlanggaran dari segi kes jenayah. Bagaimana ia harus ditangani? Kerana undang-undang negeru mungkin tidak terpakai,” katanya. 

Dalam pada itu, kata Mohd. Shafie, isu dua kewarganegaraan juga berkait dengan pilihan raya dan sistem percukaian.  -UTUSAN

“Ada negara yang tidak membenarkan dua kewarganegaraan untuk mengundi dalam pilihan raya atau memegang apa-apa jawatan politik. Undang-undang percukaian mungkin berbeza dan ini akan menimbulkan masalah seperti negara mana yang patut mengutip cukai,” katanya.  -UTUSAN

 

-HABIS- 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN