PETALING JAYA: Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama) mengadakan jelajah Bengkel Intensif Muzik Xpress yang dikhususkan untuk membuka ruang kepada anak muda mengekspresikan minat dalam seni muzik dan kreatif.
Presiden Irama, Ayob Abd Majid berkata, bengkel yang mendapat sambutan menggalakkan daripada anak-anak muda dari peminat muzik, pemuzik dan pencipta lagu/lirik dari umur 15 ke 30 tahun ini berlangsung dengan baik dan tersusun.
Ayob yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang promosi artis rakaman berkata, ramai peserta pada awalnya kurang keyakinan diri, malu-malu, takut dan untuk menonjolkan bakat seni masing-masing.
“Namun, apabila sesi ‘jamming’ santai bermula, ada yang memberanikan diri untuk mencuba menyerlahkan bakat yang ada tersimpan. Mereka yang hadir tampil lebih yakin bagi menunjukkan bakat muzik yang ada pada diri masing-masing.
“Yang lebih penting, mereka teruja dengan beberapa ilmu dan info bagaimana menyertai industri muzik secara bijak samada untuk menjadikan sebagai kerjaya serius pada masa depan atau sekadar hobi.
“Bagaimanapun dalam masa yang sama, ia boleh memberikan pendapatan lumayan hasil dari menyanyi, membuat lagu dan rakaman,” katanya.
Bengkel Intensif Muzik Xpress yang dianjurkan bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah dan Pulau Pinang bersama unit Rakan Muda/Rakan Muzik Daerah menjelajah ke lima lokasi bermula di Alor Setar, Sungai Petani, Kulim, Baling dan penutup di Pulau Pinang.
Tambah Ayob, banyak tips dan panduan didedahkan oleh panelis yang sudah berpengalaman selama lebih 30 dalam industri muzik dan masih tetap aktif sehingga kini.
“Bengkel tersebut diketuai oleh Othman Masri atau nama popularnya Man Senoi. Dia yang menaikkan nama kumpulan rap 4U2C membawakan topik cara mudah mencipta lagu, membuat gubahan muzik asas mengenal alat muzik termasuk vokal.
“Othman kongsikan pengalaman lebih 40 tahun bergelumang sebagai komposer, penerbit dan penggubah lagu serta pernah menjadi pensyarah muzik dan teknologi audio di beberapa kolej dan universiti seperti Aswara dan Lim Kok Wing.
“Kolej muzik Icon menjadikan saya berupaya mengenali bakat-bakat anak muda dalam bengkel dan memberikan kaedah-kaedah mudah serta nasihat berkenaan topik,” katanya.
Bengkel itu juga turut menampilkan Rozman Abas, pemilik syarikat rakaman dan pengedaran digital Loonaq Records berkongsi bagaimana mendaftarkan sesebuah lagu yang sudah dirakam bagi mendapatkan kad pengenalan digital atau ID kode.
“Ini perlu bagi memastikan semua digital streaming platform (DSP) di seluruh dunia dapat mengenali siapakah pencipta lagu, lirik, pelaku (penyanyi atau pemuzik) dan pemilik rakaman audio dan video sesebuah lagu yang ditonton atau didengar di internet.
“Rozman turut menasihatkan anak-anak muda ini agar setiap rakaman yang telah siap sebaiknya didaftar dahulu bagi mengelakkan kita memuat-naik rakaman yang dikategorikan sebagai konten percuma dan terdedah kepada pencurian hakmilik,” katanya.
Malah, Rozman turut berkongsi kaedah-kaedah membuat pendaftaran sama ada secara terus, melantik Badan Pengutip Royalti Persembahan Awam atau melantik pemborong digital (aggregator) bagi memasar atau monetize lagu di Spotify dan lain-lain DSP.
Kongsinya lagi, pendedahan berkenaan pendapatan pasif daripada kutipan royalti pencipta lagu dan lirik dari hak milik rakaman serta daripada royalti pelaku rakaman turut menjadi topik perbincangan.