Ini kerajaan 'NATO', cakap sahaja tiada tindakan -Syed Saddiq 

Dewan Rakyat: Ini kerajaan ‘NATO’, cakap sahaja tiada tindakan -Syed Saddiq 

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar menggelar kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘Kerajaan NATO‘ (no action, talk only) atau kerajaan cakap sahaja, namun tiada tindakan. 

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ini kerana kerajaan gagal melaksana beberapa pembaharuan seperti yang dijanjikan sebelum ini seperti pengisytiharan harta oleh barisan Jemaah Menteri. 

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang memberitahu melakukan tindakan yang konsisten dengan prinsip #walkthetalk, untuk merealisasi pelbagai pembaharuan antaranya memisahkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya. 

“Saya percaya ini bukan kerajaan walk the talk, tetapi NATO (no action no talk). Sebelum ini banyak janji reformasi tertangguh dan terus ditangguh. Tidak perlu bicarakan soal reformasi baharu iaitu pisahkan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. 

“Sebelum ini, Yang Berhormat (YB) sendiri janjikan setiap Parlimen tidak kira kerajaan atau pembangkang akan dapat peruntukan adil dan saksama. Selepas siri demi siri rundingan, kini peruntukannya masih kosong. 

“Sebelum ini juga, Perdana Menteri janjikan semua ahli Kabinet wajib isytihar harta, sekarang sudah masuk bulan ke berapa, reformasi asas dijanjikan sejak Januari lalu masih tidak dibuat lagi. 

“Sebelum ini,  dijanjikan bahawa kes-kes rasuah tidak akan digugurkan dan apabila menjadi Perdana Menteri, kes mahkamah akhirnya digugurkan. 

“Tidak perlulah kata walk the talk, rakyat hari ini apabila dengar tatakelola orang sudah tahun ini penipuan. Apabila kata mahu laksanakan, orang tidak percaya kerana telah diberi pelbagai peluang tetapi masih tidak dilakukan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, kerajaan tidak perlu menggunakan alasan tiada sokongan dua pertiga untuk melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan kerana beliau sendiri turut memberi komitmen berhubung perkara itu. 

“Saya sudah beri komitmen dari awal kalau pembaharuan perlu sokongan tambahan, saya akan beri komitmen untuk menyokong. Jangan berselindung di sebalik ketiadaan sokongan politik atau ketidakstabilan…Kalau diikutkan sokongan di Parlimen, ini kerajaan paling stabil sejak berdekad-dekad lamanya,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×