Inflasi; Gerakan ingatkan Rafizi jangan hanya salahkan rakyat - Utusan Malaysia

Inflasi; Gerakan ingatkan Rafizi jangan hanya salahkan rakyat

OH TONG KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) meminta Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tidak menyalahkan rakyat berhubung kegagalan Kerajaan Perpaduan menangani masalah inflasi yang berlaku ketika ini.

Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong berkata, Rafizi tidak sepatutnya menyalahkan rakyat Malaysia yang menghabiskan pendapatan bulanan mereka untuk makan di luar.

Katanya, sebagai Menteri Ekonomi, Rafizi sepatutnya menjadi lebih sensitif terhadap inflasi yang mendadak pada harga makanan yang dijual di restoran serta gerai-gerai makanan.

”Rafizi bukan sahaja tidak mengaku kegagalan Kerajaan Perpaduan dalam menangani masalah inflasi dalam negara, malah mendakwa rakyat menghabiskan pendapatan bulanan mereka bagi memenuhi tabiat ketagih untuk makan di luar.

”Adakah Rafizi menyalahkan rakyat yang menyebabkan masalah inflasi berlaku di negara kita, Rafizi perlu sedar dan menerima hakikat serta melihat dengan teliti bahawa kadar inflasi tidak turun sama sekali,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Rafizi berkata, tabiat ketagih untuk makan di luar membuatkan sebahagian besar daripada pendapatan bulanan rakyat di negara ini dihabiskan bagi memenuhi keinginan tersebut.

Rafizi berkata, akibat daripada amalan tidak sihat itu juga menyebabkan mereka mengalami penyusutan pendapatan dan menjadi lebih sensitif terhadap inflasi yang mendadak pada harga makanan yang dimasak, walaupun ketika inflasi utama telah menurun

Menurut Tong Keong, Kerajaan Perpaduan perlu mencari penyelesaian untuk menangani masalah inflasi serta menjadi kerajaan yang bertanggungjawab.

“Adakah dengan menyalahkan rakyat suka makan di luar merupakan satu lagi formula ekonomi yang cuba ditimbulkan oleh Rafizi?

“Jangan sesekali menuding jari kepada rakyat dan kerajaan sebelum ini yang didakwa memupuk tabiat makan di luar.

”Jangan cuba mencari alasan untuk melarikan diri daripada tanggungjawab yang harus ditanggung oleh Kerajaan Perpaduan dalam isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan berhuhung kenyataan yang sering ditekankan Rafizi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kadar inflasi dalam negara telah menurun.

“Ini kerana rakyat tidak dapat merasai kadar inflasi yang dilaporkan hanya dua peratus itu memandangkan harga minyak, beras, garam, daging, sayur-sayuran dan pelbagai bahan mentah lain telah meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya