KUALA KEDAH: Ibu kepada pelumba drag, Muhammad Hattem Rashdi, 22, yang meninggal dunia ketika menyertai perlumbaan di Pekan, Pahang kelmarin menyangka anaknya hanya terlibat kemalangan biasa di litar tersebut.
Muniroh Ahmad, 58, yang menonton secara langsung tragedi itu berkata, dia merasakan Muhammad Hattem tidak mengalami kecederaan serius memandangkan ia bukan kali pertama arwah kemalangan.
“Saya tonton live perlumbaan itu, saya nampak arwah terjatuh tetapi saya ingat tak serius sebab bukan kali pertama arwah kemalangan. Tetapi hati saya rasa tak sedap apabila live itu tiba-tiba ditamatkan.
“Saya terus menelefon adik yang mengiringi arwah ke perlumbaan itu sebelum dia menunjukkan gambar kemalangan dan kami rasa tak sedap hati terus berangkat ke Kuantan,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian anaknya di Kampung Padang Lalang, di sini hari ini.
Muniroh berkata, walaupun kehilangan anak bongsunya yang aktif dengan sukan berkenaan sejak 2016 dalam keadaan tragis, namun mereka sekeluarga reda.
Muhammad Hattem meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan semalam selepas kira-kira 15 jam bertarung nyawa akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Motosikal ditunggangnya hilang kawalan ketika beraksi di litar Speedway Taman Tasik Sultan Abu Bakar dalam acara Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023.
Sementara itu, seorang kakak arwah, Noorasyikin, 36, berkata, Allahyarham adiknya menunjukkan sikap agak luar biasa ketika keluar rumah untuk ke Pekan pada pukul 4 petang, Jumaat lepas.
“Tidak seperti biasa, kali ini arwah kelilingi rumah bersalaman dengan kami termasuk datuk dan nenek. Dia ada cakap dekat mama ‘doakan cheq (saya)’. Itulah kata-kata terakhir arwah sebelum pergi.
“Mula-mula memang tak terasa perubahan tetapi selepas kejadian baru kami sedar, arwah pun nampak gelisah sebelum keluar rumah. Seolah-olah tak mahu tinggalkan kami. Arwah keluar pukul 4 petang tiba-tiba dia patah balik sebab tertinggal topi. Kami pun rasa lain tapi tak mahu fikir apa-apa,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi kakaknya, Noor Amalia, 27, sebak melihat kehadiran orang ramai termasuk rakan dan pengikut media sosial Muhammad Hattem dari seluruh negara yang menziarahi jenazah arwah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Padang Lalang, Alor Janggus, hari ini.
“Kami sendiri tak tahu apa amalan arwah tetapi dia seorang anak yang taat, baik dan suka tolong orang. Seawal 4 pagi selepas berita kematian arwah tersebar, orang ramai sudah membanjiri pekarangan rumah kami. Di mata kami, arwah seorang anak yang sangat taat dan baik. Dia juga tak lokek ilmu,” katanya.
Jenazah Allahyarham Muhammad Hattem dikebumikan pada pukul 12 tengah hari ini setelah disembahyangkan di masjid berkenaan. –UTUSAN