KAJANG: Pelakon, Datuk Aaron Aziz, berkongsi bahawa anak perempuannya, Dwi Ariana yang kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom sering menghubunginya lebih-lebih lagi selepas insiden disaman oleh seorang pempengaruh menjadi tular.
Jelas Aaron atau Aaron Mustapha Aziz, 49, walaupun anaknya itu tidak menunjukkan kesedihan namun sebagai bapa dia merasakan puterinya itu sedang memendam sesuatu.
“Susah nak cakap sebab kami jarang berjumpa. Bila berbual melalui telefon, dia nampak gembira dan tanya khabar tapi kita tak tahu apa yang dia rasa sebenarnya. Terutama selepas perbualan berakhir.
“Baru-baru ini dia ada mesej saya tiba-tiba, luahkan rasa rindu,” katanya.
Aaron ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan filem Banduan yang berlangsung di Penjara Kajang pada Khamis.
Namun begitu, Aaron yakin anaknya bukan wanita yang lemah serta mempunyai ilmu dalam bidang psikologi untuk menguruskan emosi.
“Saya rasa dia sudah dewasa dan mengambil psikologi dalam pengajian, semua ini bukan masalah besar bagi dia,” tambahnya.
Ketika ditanya mengenai perkembangan terkini kes saman membabitkan pempengaruh, Sharina Richie sebanyak RM2 juta, Aaaron bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan menyerahkan sepenuhnya kepada peguam.
“Perkara itu masih dalam tindakan undang-undang saya rasa tidak banyak yang boleh dikongsikan, kita tengok dulu bila sudah masuk ke mahkamah nanti baru boleh kongsi selebihnya.
“Buat masa sekarang semuanya masih dalam siasatan diperingkat saman menyaman. Biarkan mereka (peguam) buat kerja, bila tiba masanya naik mahkamah nanti baru tahu keputusannya,” katanya.
Terdahulu, Aaron terkejut apabila pempengaruh, Sharina tersebut menghantar surat tuntutan terhadap anaknya, Dwi Ariana sebanyak RM2 juta.
Sebelum ini, pempengaruh itu mengeluarkan sebuah video membabitkan Aaron yang mengundang salah faham.
Video tersebut menyaksikan Sharina mengecam tindakan Aaron berkaitan isu Palestin, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen. – UTUSAN











