PETALING JAYA: Lima syarikat dipercayai disenarai pendek termasuk YTL Corp, MMC Corp Bhd., Malaysian Resources Corp Bhd. (MRCB), WCT Holdings Bhd. dan Berjaya Land Bhd. (BLand) untuk Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura.
Sebelum ini, Malaysia dan Singapura memutuskan HSR dibatalkan selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir pada 31 Disember 2020.
Kerajaan Malaysia dilaporkan membayar pampasan berjumlah RM320.27 juta kepada kerajaan Singapura selepas kedua-dua negara bersetuju untuk menamatkan kontrak pembinaan HSR sepanjang 350 kilometer itu.
Menurut firma penyelidikan CGS-CIMB, setakat ini, hampir 30 firma mengemukakan permintaan untuk membeli dokumen permintaan informasi (RFI) projek berkenaan yang dijangka dibina melalui model reka-biaya-bina-kendali-pindah (DFBOT) dan akan diserahkan selepas tempoh konsesi tamat.
Katanya, memandangkan projek kini dalam peringkat RFI, beberapa butiran seperti struktur HSR, potensi kos, pengambilan tanah, pembangunan berorientasikan transit (TOD) di stesen dan garis masa, masih belum dijawab.
“Pada pandangan kami, kuncinya ialah mendapatkan persetujuan daripada Singapura dan menyelesaikan isu pada masa lalu, seperti struktur AssetCo dan menghubungkan terminal HSR di KL dengan ERL,” katanya dalam nota kajian, semalam.
Itu antara beberapa perkara penting hasil daripada majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh CGS-CIMB untuk pelanggan dan pengurusan utama MyHSR Corp Sdn. Bhd., yang bertanggungjawab untuk pembangunan dan pelaksanaan HSR.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Ogos lalu dilaporkan berkata, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan berhubung dengan Singapura selepas kerajaan memutuskan kedudukan projek itu.
“Sebaik sahaja ada keputusan awal, barulah, Anthony Loke (Menteri Pengangkutan) akan membawanya kepada perhatian Singapura,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersilan Malaysia 2023.
Dalam pada itu, CGS-CIMB mengekalkan pendirian overweight terhadap sektor pembinaan, dan menjangkakan potensi pelancaran projek berskala lebih besar berpunca daripada HSR.
Firma penyelidikan itu berkata, MyHSR Corp juga menyentuh potensi pertindihan jajaran HSR dengan rel landasan berkembar Gemas-Johor Bahru (JB) dan menegaskan bahawa HSR akan melalui koridor berbeza dan menyasarkan pelanggan berbeza.
“HSR akan lebih (tertumpu) kepada pengembara perniagaan yang menghargai masa manakala projek rel landasan berkembar Gemas-JB (bag) memenuhi keperluan (pelanggan) yang lebih mementingkan harga. Pada peringkat kemudian (Fasa 2), HSR juga mungkin dipanjangkan ke Bangkok,” katanya.
Dari segi pengambilan tanah, CGS-CIMB berpendapat, Johor mungkin mengambil alih tanah yang disifatkan bermanfaat kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
CGS-CIMB menamakan YTL Corp, anak syarikat miliknya, Malayan Cement Bhd. (MCement) dengan kepentingan 78.6 peratus, dan HSS Engineers Bhd. sebagai penerima utama daripada ‘kebangkitan’ semula HSR.
“YTL boleh menjadi pendahulu memandangkan ia adalah penganjur asal HSR pada 2008-2009 dan pada 2018 dilantik sebagai rakan kongsi penyampaian projek (PDP) untuk bahagian selatan HSR.
“Pengalaman dalam mengendalikan ekspres rel (ERL) dan pembinaan laluan berkembar Gemas-Johor Bahru, memberikan unitnya, MCement faedah bersinergi,” katanya.
Dalam pada itu, Singapura dilaporkan bersedia mempertimbang sebarang cadangan bagi menghidupkan semula projek HSR antara Kuala Lumpur dan Singapura yang dibatalkan oleh Malaysia itu.
Menteri Kedua bagi Hal Ehwal Luar Singapura, Dr. Mohamad Maliki Osman dilaporkan berkata, pihaknya bersedia untuk melihat sebarang cadangan yang mungkin ada daripada Malaysia. – UTUSAN










