BENTONG: Kawasan penempatan Felda kini bukan lagi menjadi kubu kuat UMNO, malah sokongan peneroka sudah beralih kepada Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya baru-baru ini.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kemenangan besar calon Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Pahang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November tahun lalu kerana sokongan peneroka setelah mereka tidak melihat Barisan Nasional (BN) dan UMNO sebagai parti pilihan mereka.
Katanya, malah masalah dihadapi penduduk Felda selama ini termasuk soal hutang berjaya ditangani ketika kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali gus menyebabkan mereka menyokong PN.
“Kalau dulu sebut Felda, kubu UMNO sekarang tidak dan kini menjadi kubu kuat Pas dan Bersatu. Tengoklah pilihan raya baru-baru ini, mana ada Felda, kita menang besar.
“Yang paling tragis DUN Pulau Tawar yang mempunyai banyak Felda, iaitu 16 kawasan. Logik akal tak menang sebab peneroka hutang budi (kepada UMNO), tetapi PN menang juga,” katanya dalam ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Felda Chemomoi di sini semalam.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, BN sudah hilang pengaruh dan kuasa di bandar utama, khususnya di negeri berkenaan dan hilang kerusi tradisi yang dimenangi parti itu selama ini.
Katanya, beberapa bandar utama di Pahang antaranya Kuantan, Temerloh dan Jerantut dikuasai oleh PN yang diwakili Pas.
“Hari ini tuan-tuan cuba tengok bandar-bandar besar, semua pembangkang menang. BN sudah hilang pengaruh, sudah hilang kuasa di bandar-bandar utama. Bandar Kuantan pun PN menang. Temerloh PN menang. Mana lagi? Jerantut pun PN menang walhal kawasan bandar ini tempat pembangunan,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, keputusan UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP bukanlah untuk menguatkan tetapi bagi melemahkan parti itu.
Katanya, walaupun Pas pernah bersama DAP dalam kerjasama politik tetapi akhirnya menolak parti itu yang menolak perjanjian dimeterai antara kedua-dua pihak.
“Sepatutnya isu Islam dia tidak campur tangan, isu RUU tidak campur tangan. Malah DAP hari ini terangan mengekalkan pendirian negara sekular dan Malaysian Malaysia, kita menentang tetapi UMNO boleh terima.
“Sebab itu kita letak isyarat penting dalam pilihan raya ini untuk beri tekanan supaya fikir balik masa depan Pahang dan Malaysia. Ini kita mahu supaya hala tuju jelas,” katanya. –UTUSAN