Fahamkan mengapa saya mahu anak Islam belajar 40 hadis -PM 

Fahamkan mengapa saya mahu anak Islam belajar 40 hadis -PM 

ANWAR Ibrahim berucap merasmikan Program Lestari Niaga @ Kuala Lumpur di Medan Selera Madani Kompleks Tun Sambanthan di sini, hari ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan sesetengah pihak supaya tidak bertindak di luar kawalan dalam hal berkaitan Islam khususnya pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang menjadi pertikaian sebelum ini. 

Beliau berkata, orang bukan Melayu harus faham mesej yang disampaikan kerajaan dalam modul itu yang hanya terpakai kepada murid Islam, namun, tiada paksaaan sekiranya bukan Islam mahu mempelajarinya.

“Saya minta anak-anak Islam belajar 40 hadis, tetapi, jangan sehingga memaksa bukan Islam. (Untuk sesetengah pihak), tanyalah dahulu, jangan marah dahulu. 

“Jadi, saya harap mesej saya ini difahami,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Pelancaran Program Lestari Niaga @ Kuala Lumpur di Medan Selera Madani Kompleks Tun Sambanthan di sini, hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, Kementerian Pendidikan melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah. \

Ia juga antara lain memupuk semangat kasih sayang dan selain menerapkan kefahaman agama khususnya dalam kalangan pelajar serta guru beragama Islam.

Walaupun dijelaskan pelaksanaan modul itu hanya kepada pelajar dan guru beragama Islam sahaja, ia menjadi polemik terutama dalam kalangan bukan Islam.

Terdahulu, Biro Perhubungan Etnik dan Hal Ehwal Agama MCA menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan modul itu supaya ia boleh dibincang semula di peringkat Kabinet.

Bagaimanapun, MCA dilaporkan berpuas hati dengan rancangan kerajaan mengajarkan modul berkenaan selepas mendapat penjelasan, namun, menyalahkan media atas laporan menggunakan perkataan ‘rintis’ dan ‘diperluas’ yang didakwa membawa gambaran akan diperluas kepada institusi selain dari sekolah agama.

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) antara badan yang bertindak luar kawalan apabila menyatakan “kebimbangan mendalam” terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari modul itu juga. 

Anwar sebelum ini menjelaskan, Kerajaan Perpaduan tidak pernah memaksa golongan bukan Islam untuk menghafal atau mendalami himpunan Hadis 40 Imam Nawawi.

Sebaliknya, kata beliau, modul penghayatan hadis itu hanya untuk guru serta pelajar beragama Islam, dan inisiatif menerbitkan semula koleksi hadis berkenaan adalah usaha memupuk kefahaman agama itu dalam kalangan umat Islam sendiri terutama golongan muda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar sebelum ini menyeru semua pihak supaya tidak menimbulkan polemik yang boleh menganggu-gugat matlamat murni pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi oleh kementerian. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN