KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir, 44, mengakui zamannya menyanyikan lagu cinta dengan lirik jiwang sudah berakhir.
Bagi pemilik nama sebenar Ahmad Faizal Muhammad Tahir itu, haluan muziknya sudah berubah dalam tempoh beberapa tahun belakangan ini dan ia merupakan fasa yang biasa dilalui kebanyakan artis.
“Lagu ciptaan saya belakangan ini berubah. Semua anak seni akan melalui fasa ini.
“Sekarang saya banyak hasilkan lagu dengan nyanyian yang lebih santai. Waktu Ragaman keluar, ramai yang mempertikaikan muzik saya.
“Saya tak rasa diri saya sesuai menyanyikan lagu berunsur cinta, jiwang. Saya pun tak rasa isteri saya suka, nanti dia fikir saya buat lagu ini untuk siapa pula,” katanya.
Faizal Tahir ditemui Utusan Malaysia selepas konsert Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur di WTCKL, malam tadi.
Menurut penyanyi Cuba itu lagi, perubahan muziknya banyak dipengaruhi oleh karakternya sebagai seorang bapa.
Justeru, dia mahu meninggalkan karya yang boleh dibanggakan oleh semua anaknya.
“Saya tidak mahu anak saya malu dengan lagu saya.
“Saya tidak boleh seratus peratus ada masa bersama mereka. Jadi saya hasilkan lagu yang boleh anak saya kaitkan. Lebih ringan, ada unsur nasihat dan santai.
“Pendek kata, keluarga saya yang akan menentukan jenis lagu yang akan saya hasilkan,” katanya.
Menerusi konsert yang dihadiri sebanyak 3,000 pengunjung malam tadi, Faizal menyanyikan 21 lagu termasuk lagu hit Mahakarya Cinta, Ragaman, Gemuruh, dan Santai.
Turut membuat kejutan adalah penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang membuat persembahan secara spontan menyanyikan lagi Dirgahayu.
Pentas Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur turut digamatkan dengan kemunculan penyanyi dan hos, Alif Satar.