KUALA KRAI: Seramai 43 kakitangan pembersihan di beberapa buah sekolah sekitar daerah ini mendakwa terpaksa ‘mengikat perut’ selepas berdepan tunggakan gaji sejak dua bulan lalu.
Dakwa mereka, kelewatan pembayaran gaji yang bermula sejak Julai lalu itu memberi kesan dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Seorang pekerja pembersihan, Zaidi Ibrahim, 39, berkata, setakat ini dia hanya menerima bayaran gaji bulan Jun pada 8 Julai lalu.
Katanya, bagaimanapun gaji untuk Julai dan Ogos belum diterima sehingga sekarang menyebabkan dia tidak mampu membayar bil elektrik dan air sekali gus berlaku tunggakan.
“Tunggakan kedua-dua bil itu sudah mencecah hampir RM1,000. Saya mempunyai enam anak masing-masing berusia antara 17 bulan hingga tujuh tahun. Merumitkan keadaan, semua mereka masih bersekolah.
“Bila gaji saya tertunggak, anak-anak tidak dapat hadir ke sekolah kerana tidak mempunyai wang saku. Sejujurnya, ketika ini saya bergantung sepenuhhya kepada pendapatan isteri sebagai pembantu kantin sekolah dengan upah sebanyak RM15 sehari,” katanya selepas mengadakan piket aman di sini, semalam.
Sementara itu, Siti Nur Hasanah Che Wil, 40, yang merupakan ibu tunggal berkata, walaupun belum menerima gaji sejak dua bulan lalu, dia dan rakan-rakan masih bekerja seperti biasa.
Katanya, dia terus kental bertahan kerana ini adalah satu-satunya punca pendapatannya untuk menyara anak-anak.
Sementara itu, pihak majikan ketika dihubungi Utusan Malaysia mengakui kelewatan bayaran gaji ke atas pekerja-pekerjanya disebabkan berdepan masalah kewangan.
Katanya, mereka sedang berusaha membayar kesemua tunggakan gaji pekerja kerana memahami kesulitan dialami kumpulan berkenaan.
“Sebelum ini, tidak pernah berlaku kelewatan pembayaran gaji sehinggalah pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang amat membebankan syarikat dan perlu dibayar bermula Mei tahun lalu.
“Sejak itu, kami terpaksa menggunakan wang syarikat sebagai pusingan untuk membayar gaji pekerja dan kini sedang berusaha bagi memastikan tunggakan ini dapat diselesaikan dengan kadar segera selain gaji dapat dibayar seperti biasa,” katanya. – UTUSAN










