KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memaklumkan masih terdapat sebahagian baki sempadan perlu dirunding dengan Indonesia berhubung persempadanan kawasan maritim Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan pelantar benua yang dipersetujui dalam Triti Laut Sulawesi.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin bagaimanapun berkata, Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani pada 8 Jun lalu tidak melibatkan persempadanan maritim antara kedua-dua negara yang dirujuk Indonesia sebagai Ambalat.
Katanya, Triti Sulawesi yang dimeterai ketika itu hanya meliputi kawasan di separa perairan laut wilayah yang disebut sebagai Ambalat.
“Untuk makluman, masih terdapat sebahagian baki sempadan yang perlu dirunding antara kedua-dua negara,” katanya semasa sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas berkenaan cadangan supaya kerajaan mendedahkan dokumen triti tersebut kepada awam, katanya, dokumen-dokumen tersebut masih belum boleh dikongsi kerana proses ratifikasi yang berbeza oleh kedua-dua negara.
“Hanya setelah kedua-dua negara menyempurnakan proses ratifikasi berdasarkan undang-undang domestik masing-masing, barulah dokumen-dokumen tersebut boleh dikongsikan kepada umum.
“Saya juga menyatakan kesediaan berhubung cadangan supaya isu kawasan yang dirujuk Indonesia sebagai Ambalat dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa Parlimen,” katanya.
Malaysia dan Indonesia memeterai triti itu termasuk Triti Selat Melaka untuk sempadan paling selatan ketika lawatan Presiden Joko Widodo ke negara ini pada 8 Jun lalu.
Bagaimanapun, ada pihak tertentu menyebarkan fitnah Triti Laut Sulawesi yang kaya rizab minyak mentah seolah-olah menggadaikan kedaulatan negara.
Ini susulan laporan media asing mendedahkan sejumlah kapal tentera laut Indonesia bertindak mempertahankan zon dipertikai itu sejurus triti berkenaan ditandatangani.
Kedua-dua negara itu bagaimanapun komited meneruskan perundingan bagi melengkapkan jurang dari tikas air surut ke East Pillar secara menyeluruh selewat-lewatnya pada Jun 2024.
Pemimpin Malaysia dan Indonesia juga menugaskan pasukan perundingan untuk memulakan sesi perbincangan secepat mungkin bagi sempadan yang belum dimuktamadkan.
Kali terakhir dua negara berjiran serantau tersebut memeterai triti seumpama itu ialah pada 1970 dan pihak kerajaan yakin isu sempadan dapat diselesaikan terutama di ZEE sekali gus membolehkan pelbagai aktiviti ekonomi termasuk eksploitasi sumber marin dilaksanakan selain pencegahan jenayah rentas sempadan.-UTUSAN