KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempertingkatkan prasarana dan menambah tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi menampung jumlah pelajar perubatan.
Senator Dewan Negara, Datuk Dr. Nelson Renganathan berkata, melalui statistik yang diperoleh, sebanyak 39 pelajar India yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 melalui program matrikulasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak mendapat melanjutkan pengajian dalam bidang kedoktoran.
Kata beliau, perkara sama turut dihadapi oleh pelajar-pelajar daripada kaum lain dan kebanyakan daripada kumpulan pelajar yang tidak mendapat tempat di IPTA adalah daripada golongan B40 (berpendapatan rendah).
“Mereka ditolak kerana tidak cukup tempat di IPTA, maka, saya seru kepada kerajaan dalam RMK12 dapat pertingkatkan prasarana dan juga menambah tenaga pengajar di IPTA untuk tujuan menampung permintaan daripada golongan pelajar yang cerdik serta pandai ini.
“Kita sudah berbelanja berbilion-bilion ringgit dalam lain-lain hal, ini (mengenai) pelajaran. Kalau kita tengok unjuran doktor kepada pesakit di negara ini pun kita masih boleh mendapat unjuran (yang baik),” katanya dalam sidang Dewan Negara di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr. Nelson turut mempersoal kaedah yang digunakan oleh Unit Pengambilan Universiti (UPU) dalam menguruskan pengambilan pelajar.
“Kita sudah (berada) dalam era teknologi kecerdasan buatan (AI), jadi, kalau kita menggunakan teknologi sedia ada, kita boleh sesuaikan permintaan dengan penempatan pelajar dengan lebih baik.
“Ada satu pelajar bumiputera, dia mohon untuk kursus sains sukan (sebab) nak jadi jurulatih, (tetapi) kursus yang dia dapat adalah seni kulinari. Bayangkan nak jadi jurulatih (tapi) dapat kursus chef,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melakukan sesuatu bagi menangani isu tersebut.
HABIS










