Dasar PeGTaECRL kenal pasti pembangunan sekitar laluan ECRL

Dasar PeGTaECRL dilulus, kenal pasti pembangunan sekitar laluan ECRL

ANWAR Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat MPFN Ke-42 di Putrajaya. - GAMBAR IHSAN PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan satu dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa iaitu Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Rail Link – ECRL) (PeGTaECRL).

Dasar itu dipersetujui menerusi Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-42 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Anwar berkata, PeGTaECRL adalah dokumen perancangan guna tanah jangka panjang (sehingga 2040) bagi memandu pembangunan di sekitar 20 stesen dan di sepanjang laluan ECRL yang dikenal pasti.

“Dokumen ini berperanan sebagai dokumen rujukan kepada pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dijangka dapat menarik pelaburan.

“Ia sekali gus memacu pembangunan mampan ke arah keseimbangan antara Wilayah Pantai Timur dan Wilayah Pantai Barat Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata, MPFN turut bersetuju dengan penambahbaikan kepada proses kelulusan dalam pembinaan infrastruktur pengecasan EV melalui Garis Panduan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik dan Prosedur Pemajuan (GPP EVCB).

Katanya, langkah itu selari dengan transformasi industri automatif negara ke arah peralihan masa hadapan yang lebih mesra alam dan mampan.

Jelas beliau, ketersediaan infastruktur pengecasan amat penting dalam transformasi sektor automotif ini sejajar sasaran Malaysia melalui National Energy Transition Roadmap 2023 (NETR) penggunaan EV sebanyak 38 peratus pada tahun 2040 dan 80 peratus pada tahun 2050.

“Sasaran penggunaan EV yang tinggi memerlukan sokongan dari segi penyediaan infrastruktur yang lengkap.

“Sehubungan itu, kerajaan memberi komitmen untuk pembinaan 10,000 stesen pengecasan EV awam menjelang tahun 2025. Sehingga kini hanya 1,246 stesen pengecasan EV beroperasi,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kelestarian alam semulajadi turut menjadi agenda penting dalam perancangan dan pembangunan bandar dan desa di negara ini.

Jelasnya, kepentingan sumber warisan geologi, biologi dan budaya sentiasa diberi perhatian untuk memelihara dan memulihara sumber warisan semula jadi.

“Penghasilan dokumen Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 (PPGN 2021-2030) dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara (PLGN) menjadi asas gerak kerja bagi merancang, mengurus dan melaksanakan pembangunan sesebuah Geopark (dan Geotapak) secara bersistem, terurus serta mengikut piawaian kebangsaan dan antarabangsa.

“MPFN bersetuju dengan pemakaian kedua-dua dokumen berkaitan (PPGN 2021-2030 dan PLGN) untuk pembangunan dan pelaksanaan Geopark oleh agensi Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri dan penterjemahan cadangannya dalam dokumen rancangan tempatan (RT) untuk kawalan perancangan dan guna tanah di peringkat tempatan,” katanya.

Pada masa sama, Anwar turut mengulangi penekanan kepada usaha mempercepatkan proses pembangunan dengan meningkatkan lagi kecekapan yang menumpukan kepada kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia.

Tegasnya, semua jabatan atau agensi di peringkat persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diseru agar terus memberikan perhatian terhadap perkara ini bagi meningkatkan lagi keyakinan pelabur. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya