DAP bukan musuh Melayu, Melayu bukan musuh DAP – Anthony Loke - Utusan Malaysia

DAP bukan musuh Melayu, Melayu bukan musuh DAP – Anthony Loke

AHMAD Zahid Hamidi bersalaman dengan Anthony Loke (tengah) pada Persidangan Tahunan DAP 2023 di Putrajaya semalam. Turut hadir Pengerusi DAP, Lim Guan Eng (kanan). – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Melayu bukan musuh kepada DAP dan DAP juga bukan musuh kepada Melayu”. Itu tegas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke ketika mengakhiri ucapan dasar sempena Persidangan Tahunan DAP 2023 di sini semalam.

Loke berkata, DAP juga bukannya musuh kepada mana-mana kaum dan agama di negara ini.

Menurutnya, DAP adalah sebuah parti yang mendukung aspirasi seluruh rakyat Malaysia tidak kira kaum dan agama.

“Jangan kita mudah terperangkap dengan paradigma lama. Apabila kita sebut ‘Malaysia untuk Malaysia’, saya yakin demokrasi dan politik serta kedudukan orang Melayu dalam politik terjamin.

“Tiada sebab orang Melayu perlu bimbang dan takut de­ngan DAP. Kita bukan parti yang pagi cakap lain, malam cakap lain,” katanya.

Dalam pada itu, Loke juga mengesahkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bukan Presiden UMNO pertama yang hadir pada persidangan parti itu sebaliknya ia juga pernah diha­diri oleh seorang bekas Presiden UMNO.

“Ada seorang bekas Presiden UMNO pernah hadir (Persida­ngan Tahunan DAP) tetapi ketika itu beliau bukan lagi ahli UMNO.

“Ketika sidang media selepas hadir persidangan itu, beliau sangat terkejut kerana ucapan dasar parti dibuat dalam bahasa Melayu, malah lebih terperanjat, lagu rasmi DAP pun dalam bahasa Melayu,” katanya.

Justeru Loke berkata, beliau yakin Ahmad Zahid tidak terkejut kerana DAP sebenarnya tidak membelakangkan bahasa kebangsaan.

“Saya yakin Datuk Seri tidak terperanjat sebab dalam DAP kita mendukung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Secara seriusnya, saya ingin nyatakan kepada rakan-rakan dalam UMNO bahawa inilah pendekatan dan wajah sebenar DAP.

“Saya lihat Datuk Seri pandang skrin besar ketika nyanyi lagu DAP, saya pasti beliau sendiri nak lihat apakah lirik lagu parti kita. Lirik lagu itu di­tulis oleh saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN