PETALING JAYA: Seorang wanita dan teman lelakinya didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh anak wanita terbabit yang sebelum ini didakwa dilanggar lori.
Mengikut pertuduhan, Mary Teh May Yee, 44, dan teman lelakinya S. Puvaneswaran, 29, didakwa telah membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun pada pukul 12.55 tengah malam, 22 Ogos lalu di sebuah unit rumah di Jalan PUJ 3/2, Taman Puncak Jalil di sini.
Pertuduhan terhadap pasangan kekasih itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati,
Bagi pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada kedua-dua tertuduh memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Puvaneswaran yang juga seorang pemandu lori turut didakwa atas pertuduhan membuat laporan palsu kepada pihak polis pada hari sama, pukul 2.57 pagi di Balai Polis Seri Kembangan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,0000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Pada 27 Ogos lalu, media melaporkan seorang wanita berpakat dengan teman lelakinya untuk membuat laporan polis palsu bahawa anak lelakinya telah dilanggar lori.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan, satu laporan diterima pihaknya daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Serdang yang merawat kanak-kanak itu pada 22 Ogos lalu.
Maklumat awal menyatakan kanak-kanak dikatakan dilanggar lori namun pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan lebam dan luka lama disyaki akibat didera.
Tambah Anbalagan, keputusan bedah siasat mangsa mengesahkan terdapat kecederaan parah pada tisu lembut ekoran beberapa pukulan objek tumpul.- UTUSAN+










