Cressentia hampir lupakan hasrat sambung pengajian

Cressentia hampir lupakan hasrat sambung pengajian sebab kekangan kewangan

CRESSENTIA Paul (dua kanan) bersama ibunya, Damaris Sokan (kanan) meluahkan rasa bersyukur terpilih sebagai penerima Sulung 2.0 kepada Mohammad Yusof Apdal (dua kiri), di Kampung Langkawit, Papar hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Masalah kewangan yang dihadapi keluarga membuatkan Cressentia Paul, 19, hampir melupakan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Namun, sokongan keluarga menyebabkan anak keempat daripada enam beradik ini berusaha memohon bantuan kewangan dan biasiswa daripada kerajaan untuk membolehkannya meneruskan impian untuk ke menara gading.

“Selepas dapat surat tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), memang fikiran saya bercampur aduk. Sudah pasti saya gembira dapat tawaran masuk universiti tapi, masalah kewangan menjadi kekangan utama keluarga kami.

“Jadi, apabila kakak dan abang menyatakan saya mesti teruskan pengajian walaupun terpaksa buat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) maka, saya pun bersemangat untuk melanjutkan pengajian. Mereka mahu sekurang-kurangnya salah seorang daripada kami dapat menyambung pengajian di universiti,” katanya ketika ditemui semasa majlis penyerahan surat tawaran Program Pembangunan Siswa Sulung (Sulung) 2.0, dikediamannya di Kampung Langkawit, hari ini.

Bekas pelajar Kolej Matrikulasi Labuan itu menarik nafas lega apabila dia terpilih sebagai penerima Sulung 2.0 yang membolehkan yuran pengajiannya sepanjang lapan semester di Unimas ditanggung sepenuhnya oleh PTPTN.

Anak daripada keluarga B40 yang dibesarkan oleh ibu tunggal ini rasa bersyukur kerana tidak perlu berhutang dengan PTPTN untuk membayar yuran pengajiannya.

Katanya, sebelum ini dia ada memohon Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) namun, sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima. Maka, dia akan cuba memohon biasiswa itu sekali lagi supaya dapat menampung kos-kos lain sepanjang empat tahun pengajian di Unimas.

Cressentia berkata, Unimas adalah universiti pilihan keduanya selepas Universiti Malaysia Sabah (UMS). Biarpun terpaksa berjauhan dengan keluarga dia akur kerana tawaran yang diterima adalah daripada Unimas dan bukannya UMS.

Sementara itu, ibunya, Damaris Sokan,52, berkata, masalah kewangan keluarga menyebabkan kakak kepada Cressentia kuburkan impian melanjutkan pengajian di IPT sebelum ini.

“Dulu pun kakak Cressentia cemerlang dalam pelajaran tapi sebab masalah kewangan, kakaknya terpaksa tolak tawaran ke universiti. Maka, ia jadi pengajaran buat kami untuk tidak mengulangi kesilapan sama pada kali ini.

“Saya bersyukur anak-anak saya cemerlang dan semangat untuk sambung belajar. Apabila dia terpilih menerima tawaran program Sulung, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban kewangan kami untuk menghantarnya ke universiti,” katanya.

Ibu tunggal ini berkata, sumber pendapatan keluarga ditanggung oleh dua anaknya yang bekerja. Dulu-dulu, beliau pernah mengambil upah membersihkan rumah dengan kadar bayaran RM300 sebulan untuk membesarkan enam anaknya selepas kematian suami pada sembilan tahun lalu.

Majlis penyerahan surat tawaran Program Pembangunan Siswa Sulung (Sulung) 2.0 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya