Bukan tak pernah rasa nak tukar kerja, tapi… - Utusan Malaysia

Bukan tak pernah rasa nak tukar kerja, tapi…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menggalas tugas sebagai antara pelakon tempatan yang berbakat besar dan disegani dalam industri seni tanah air, siapa sangka, hati Nadiya Nisaa juga pernah terdetik untuk ‘meninggalkan’ bidang lakonan.

Meniti perjalanan sebagai seorang wanita dalam fasa isteri dan juga ibu, Nadiya mengakui, ada ketika hasrat itu pernah datang menyinggah sekali gus membuat dirinya dibelenggu dengan banyak pertanyaan itu dan ini.

“Tak pernah rasa penat atau lelah? Tipulah kalau cakap tak pernah apalagi tuntutan kerja sebagai seorang pelakon atau anak seni itu tidak sama dengan orang yang bekerja di pejabat misalnya.

“Namun nak buat macam mana, minat dan cinta saya dalam bidang lakonan ini tak pernah padam. Malah, saya sebenarnya bersyukur kerana dikurniakan sistem sokongan yang kuat dan memahami jiwa saya ini.

“Pun begitu, ada ketika, tentulah saya pun pernah rasa penat atau ‘down’. Rasa nak tukar kerja pun pernah dan cuba nak ceburi pekerjaan lain ikut waktu pejabat atas alasan kononnya nak fokus keluarga.

“Tapi, semua itu seakan tak boleh dilakukan sebab bukan jiwa saya yang sebenar,”katanya.

Berkongsi lanjut, jelas pelakon berusia 38 tahun ini, setiap kali dicuit dengan perasaan putus asa atau penat dengan dunia seni, seringkali juga dia akan bermonolog dengan diri sendiri.

“Saya biasanya akan tanya semula diri, kenapa dan mengapa nak ubah arah? Sedangkan saya begitu sedar bahawa jika buat kerja lain, adakah itu sememangnya fungsi sebenar saya kepada masyarakat?

“Tidak. Rasanya memang menerusi lakonan sahajalah yang membuatkan saya mampu mengisi ruang peranan itu.

“Bukanlah nak merendahkan kerjaya orang lain, tetapi untuk saya, dunia lakonanlah yang membuatkan saya rasa kehendak diri itu ‘sampai’ kepada masyarakat. Saya nak buat apa yang saya rasa selesa dan suka,”katanya.

Motivasi dari suami

Menyambung cerita, kata pelakon kelahiran Gombak, Selangor ini, ‘kacau bilau’ yang memenuhi fikirannya juga pernah disuarakan kepada suami tercinta, Saiful Razman Mohd Kassim sebelum ini.

Bagaimanapun, kata Nadiya, kekusutan yang dirasai beransur hilang seiring dengan kejutan kata semangat yang diberikan oleh suaminya.

“Saya ada tanya dia, adakah di matanya saya ini seorang isteri dan ibu yang pentingkan diri hanya kerana saya memilih untuk meneruskan bidang lakonan? Suami jawab, tidak.

“Katanya, dia mahu saya mengejar cita-cita dalam bidang yang cintai. Apa yang membuat saya tersentuh hati ialah bila dia katakan mahu anak-anak kami melihat saya sebagai satu inspirasi.

“Bukan nak normalisasikan penat lelahnya dunia lakonan ini. Tetapi, saya harap masa depan industri seni ini juga akan jadi lebih baik. Dari segi kadar bayaran, royalti atau apa sahaja yang berkaitan agar lebih menguntungkan,”katanya.

Ditanya sama ada dirinya berasa bertuah kerana memiliki suami yang begitu memahami kemahuan dan minatnya terhadap bidang lakonan, Nadiya mengangguk tanda setuju.

Memuji suaminya, kata Nadiya, dia bertuah kerana Saiful Razman merupakan seorang lelaki yang tidak lokek memberikan sokongan kepadanya.

“Boleh dikatakan, suami adalah antara penyokong nombor satu saya. Justeru, hal ini membuatkan saya rasa amat bersyukur kerana bukan senang untuk seseorang memahami selok belok dunia seni.

“Sebenarnya, saya fikir, mana-mana wanita pun, dalam apa sahaja bidang sekali pun pasti akan berasa bertuah jika mempunyai pasangan yang memahami akan kerjaya mereka.

“Nak buat perniagaan dari rumah pun tetap perlukan sistem sokongan yang kuat apalagi dari suami sendiri. Sekarang saya tengok kefahaman golongan lelaki mengenai wanita bekerjaya juga semakin baik dan meluas. Itu sesuatu yang positif,”katanya.

Dalam pada itu, Nadiya yang bakal hadir dengan filem berjudul La Luna menjelang November ini meluahkan rasa bangga kerana diberi peluang berada sebaris dengan pelakon handalan lain dalam karya arahan M Raihan Halim tersebut.

Membawakan watak Yam, kata Nadiya, peranannya menerusi filem ini sedikit berat berbanding watak lain yang diwujudkan.

“Yam adalah seorang wanita yang diuji mengalami isu keganasan rumah tangga. Meskipun naskah arahan M.Raihan ini cenderung ke arah elemen humor, namun untuk watak Yam, ada sisi berat yang diselitkan.

“Pendek kata, naskah ini mengingatkan kita semua kepada filem-filem humor sinikal seperti Allahyarham Mamat Khalid. Dalam jenaka, ada mesej penting yang pengarah ingin sampaikan kepada masyarakat,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN