BN miliki peluang 60 peratus di Pelangai

BN miliki peluang 60 peratus di Pelangai

Calon Barisan Nasional (BN), Amizar Abu Adam (bersongkok) mendapat sokongan padu daripada pemimpin BN dan PH dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Pelangai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan mengekalkan penguasaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai berdasarkan faktor geografi, sejarah dan pengaruh bekas penyandangnya, Tan Sri Adnan Yaakob.

Bagaimanapun, penganalisis politik berpendapat ‘gelombang’ Perikatan Nasional (PN) terhadap sokongan orang Melayu tidak boleh dipandang rendah bahkan mampu ‘memikat’ 35 peratus undi penyokong UMNO.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, atas kertas calon BN, Datuk Amizar Abu Adam memiliki kelebihan 60 peratus untuk menang berbanding lawan daripada PN, Kasim Samat.

Katanya, ia berdasarkan beberapa faktor mempengaruhi termasuk kedudukan DUN Pelangai yang bersebelahan Bentong yang dikuasai DAP dan Kuala Pilah yang masih bersama BN.

“Selain itu, Pelangai juga mempunyai tiga tanah rancangan Felda yang sokongan mereka masih bersama BN. Turut menyumbang kepada peratusan itu adalah dokongan daripada bekas ADUN Pelangai yang juga bekas Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob kerana beliau dilihat bersama calon BN pada hari penamaan calon.

“Adnan walaupun sudah tidak aktif berpolitik namun masih mempunyai pengaruh yang kuat di kawasan tersebut. Pada masa sama, BN juga dijangka mendapat sokongan penuh kira-kira 20 peratus pengundi Cina di DUN berkenaan,” katanya.

Walau bagaimanapun, Mazlan berkata, pengaruh PN di kawasan Melayu tidak boleh dipandang enteng memandangkan dalam kalangan pengundi BN sebelum ini masih ramai yang tidak menyokong kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) kerana adanya DAP.

Justeru, beliau menjangkakan PN akan mendapat kira-kira 30 hingga 35 peratus undi penyokong BN yang tidak bersetuju dengan kerjasama tersebut berdasarkan pilihan raya negeri (PRN) dan PRK sebelum ini.

“Di sesetengah kawasan PRN sebelum ini, rata-ratanya 30 hingga 35 peratus pengundi BN beralih kepada PN, namun ada di sebahagian kawasan peratusannya mencapai 50 peratus.

“Bagaimanapun, berdasarkan perkiraan di atas kertas, kelebihan masih ada di pihak BN kerana bukan PH yang bertanding. Jika PH yang meletakkan calon mungkin senario berbeza,” katanya.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam; calon PN iaitu Naib Yang Dipertua Pas Bentong, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

DUN Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, di Shah Alam, Selangor, bulan lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut menetapkan 3 Oktober sebagai hari undi awal dan 7 Oktober untuk hari pengundian.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN, Kasim Samat, calon PH, Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Isa Ahmad.

Berdasarkan rekod, Adnan Yaakob menguasai DUN Pelangai selama lapan penggal iaitu bermula tahun 1986 sehingga 2022.

DUN Pelangai mempunyai seramai 16,456 pengundi berdaftar dan hampir 75 peratus adalah pengundi Melayu manakala pengundi Cina mewakili 20 peratus, India dan Orang Asli 10 peratus.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN