Biro Politik bincang kedudukan UMNO Terengganu - Utusan Malaysia

Biro Politik bincang kedudukan UMNO Terengganu

VETERAN UMNO mencadangkan kepimpinan UMNO Terengganu sedia ada perlu dirombak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Sebarang rombakan kepimpinan UMNO Terengganu akan dibincangkan Biro Politik parti yang akan memperhalusi segala perkara termasuk persediaan menghadapi pilihan raya.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua pihak bebas memberikan pandangan berhubung gesaan rombakan segera barisan UMNO Terengganu.

“Itu biar bawa dalam Biro Politik yang disertai semua Pengerusi Perhubungan UMNO. Kita akan bincang kedudukan UMNO, bagaimana cara berdepan jika pilihan raya.

“Kita ambil satu-satu dahulu, biarlah selesai Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai. Saya belum buka bab itu lagi, dia boleh cakap beri pandangan, insya-Allah (bincang) tapi tumpuan untuk menang Pelangai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Sembang Santai PRK Pelangai di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Chemomoi di sini semalam.

Mohamad diminta mengulas gesaan seorang veteran UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar agar rombakan segera dilakukan terhadap barisan pimpinan parti itu di Terengganu yang ‘dibadai’ Gelombang Hijau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Beliau dilaporkan berkata, kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said perlu diganti dan mencadangkan supaya 80 peratus daripada anggotanya membabitkan muka baharu manakala selebihnya pemimpin lama, berperanan sebagai penasihat.

UMNO yang menerajui Barisan Nasional (BN) kalah di semua lapan kerusi Parlimen pada PRU15 dan prestasi buruk itu berterusan pada PRN, bulan lalu menyaksikan kerjasamanya dengan Pakatan Harapan (PH) tewas di 32 kerusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN