TAIPING: Sebuah syarikat membeli kelapa sawit di sini mengagihkan 500 kampit beras secara percuma kepada penduduk berdekatan premis perniagaannya sempena pembukaan rasmi syarikat itu hari ini.
Pemilik Syarikat Maju Matang Trading Sdn. Bhd., Chuah Chong Choon, 37, berkata, dia berbuat demikian kerana mahu membantu penduduk berdekatan premis perniagaannya yang terdiri daripada golongan B40 ketika harga beras naik di pasaran.
“Saya menyedari masalah kenaikan harga beras di pasaran sekarang yang memberi tekanan dan beban kepada golongan yang berpendapatan rendah iaitu dari golongan B40.
“Oleh itu saya bersama empat rakan kongsi berbincang dan hasil perbincangan kami sepakat untuk memberi beras secara percuma kepada penduduk di sekitar kawasan premis kami sempena hari pembukaan rasmi syarikat kami hari ini,” katanya di sini hari ini.
Majlis pembukaan syarikat itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Ong Seng Guan di Matang di sini hari ini. Turut hadir, Penghulu Mukim Matang, Nasaruddin Mawi.
Menurut Chong Choon, beras yang syarikat itu disumbangkan kepada penduduk dari kalangan B40 tanpa mengira kaum dan latar belakang agama.
Katanya, pemberian beras secara percuma sekampit lima kilogram untuk setiap seorang penduduk yang hadir ke majlis itu diharap dapat membantu penduduk ketika harga beras mahal.
“Mungkin sesetengah orang menganggap pemberian ini hanya sekadar satu kampit beras lima kilogram tidak dapat meyelesaikan masalah bebanan yang dihadapi oleh penduduk.
“Namun setidak-tidaknya kami peka dan berusaha membantu secara ikhlas kepada masyarakat di sekitar premis perniagaan kami ini,” katanya.
Chong Choon berkata, syarikatnya juga menyediakan perkhidmatan pekerja untuk menguruskan pengambilan buah sawit dan lain-lain perkhidmatan bagi memudahkan pekebun kecil untuk menjual hasil mereka. – UTUSAN










