BANYAK pencapaian diraih penyanyi cantik, Dewi Liana Seriestha sejak dia memasuki bidang seni lebih 20 tahun yang lalu.
Selain menjadi juara Bintang Kecil RTM 2000, anak kelahiran Kuching, Sarawak ini juga mewakili Malaysia ke pertandingan ratu cantik dunia 2014 sekaligus dipilih sebagai Miss World Talent.
Pencapaian Dewi yang berusia 34 tahun tidak ternoktah di situ apabila dia sekali lagi mengharumkan nama negara menerusi kemenangan pingat emas dan tiga pingat perak di World Championship of Performing Arts.
Satu per satu kemenangan diraih, namun nama penyanyi ini masih ‘samar-samar’ dalam dunia hiburan tanah air.
Dewi, ketika ditanya tentang perkara itu memaklumkan tidak kecewa andai kata dia masih belum meniti tangga populariti teratas.
Katanya, dia tetap bersyukur kerana rezekinya dalam bidang nyanyian tidak pernah putus.
“Populariti bukan sesuatu yang saya kejarkan. Saya gembira kerana masih ada yang kenal saya dan tawarkan buat persembahan.
“Rezeki saya pula tak pernah putus, selalu juga dipanggil membuat persembahan untuk majlis-majlis korporat.
“Walaupun saya jarang muncul di televisyen, saya tetap gembira. Tak mengapalah kalau nama saya tak popular, asalkan saya masih berpeluang menyanyi,” katanya.
Dewi ditemui ketika konsert Ini Baru Bintang di Auditorium Perdana Angkasapuri, malam Ahad lalu.
Ujar Dewi, perjalanan selama 23 tahun dalam bidang seni bukan perkara yang mudah. Malah, dia tidak bergantung kepada kerja nyanyian semata-mata, sebaliknya bekerja keras, menggunakan kemahiran lain untuk kekal relevan.
“Punca pendapatan saya bukan setakat bidang nyanyian sahaja, tetapi juga menerusi bidang yang lain.
“Saya gunakan kemahiran-kemahiran lain, termasuk menjadi pengacara, model dan menjadi tenaga pengajar,” jelasnya.