SUBANG: Pemain Korea Selatan, Kim Minsu mengungguli Kejohanan Amatur Saujana (SAC) 2025 selepas menamatkan saingan dengan kelebihan tiga pukulan pada hari terakhir yang penuh cabaran hujan lebat di Saujana Golf and Country Club (SGCC), hari ini.
Aksi di sembilan lubang terakhir terganggu tiga kali apabila hujan berterusan memaksa permainan dihentikan sementara, namun pemain berusia 20 tahun itu kekal tenang sebelum mencatat satu bawah par 70, sekali gus mengumpul keseluruhan 209 pukulan untuk muncul juara.
Kim berkata, kejayaannya banyak dipengaruhi peningkatan permainan ‘putting’ selepas bergelut dalam Kejohanan Terbuka Amatur Malaysia ke-121, minggu lalu.
“Strategi saya fokus kepada pukulan putting kerana saya memang bermasalah minggu lepas. Hari ini semuanya menjadi, sebab itu saya bernasib baik dapat bergelar juara,” katanya selepas menamatkan perlawanan pusingan akhir SAC 2025 di sini, hari ini.
Detik penentu kemenangan Kim berlaku di lubang ke-13 par lima apabila pukulan tee-nya tersasar ke kawasan belukar, namun beliau bangkit melakukan pukulan susulan yang menyelamatkan kedudukan.
“Saya fikir mungkin akan bogey atau lebih teruk, tetapi saya berjaya keluar dan menyelamatkan pukulan. Masa itu saya tahu, ini peluang untuk menang,” ujarnya.
Naib juara milik wakil Australia, Josiah Edwards dengan catatan 212 pukulan, manakala pemain muda Malaysia, Aiden Kei Ahmad Shaharuddin berada di tempat ketiga selepas menamatkan saingan dengan 214 pukulan.
Aiden yang bermula satu pukulan di belakang tiga pendahulu sebelum bermain 73 pukulan mengakui keadaan cuaca tidak menentu memaksanya menukar pendekatan permainan termasuk ketika menunggu hujan berhenti.
“Semasa hujan saya hanya duduk di pondok, tenangkan diri dahulu, biar hujan reda, kemudian panaskan badan semula sebelum sambung bermain,” katanya.
Menurut Aiden, green yang basah turut memaksanya menukar tempo ketika melakukan pukulan putting.
“Green agak perlahan, jadi saya perlu pukul bola sedikit lebih kuat dan ambil lebih banyak break. Itu sahaja strategi saya,” katanya.
Aiden berkata, pukulan terbaiknya hari ini adalah pukulan drive pertama yang jatuh tepat di tengah fairway sekaligus memberi keyakinan awal kepadanya untuk meneruskan permainan.
“Mungkin drive pertama saya. Bola jatuh betul-betul di tengah fairway dan saya buat par. Ia pukulan yang memberi semangat,” ujarnya.
Park Jaemin dari Korea Selatan meraih kedudukan keempat dalam kejohanan berkenaan, manakala Andrew Yap dari Malaysia menduduki tempat kelima. – UTUSAN










