Apa jangkaan dua tahun pertama KSP RMK-12?

Apa jangkaan dua tahun pertama KSP RMK-12?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar-pakar ekonomi meletakkan beberapa jangkaan khusus dalam tempoh dua tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menyaksikan ekonomi negara berkembang antara 5.5 peratus sehingga 6.5 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kerajaan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentang Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 menerusi sidang khas Dewan Rakyat, Isnin ini disusuli perbahasan pada 12 hingga 14 September, manakala jawapan menteri pada 18 dan 19 September.

Bagi memastikan unjuran itu tercapai, pakar-pakar ekonomi berpandangan kerajaan harus membina ekonomi yang lebih berdaya tahan dengan mempelbagaikan sumber ekonomi, menggalak inovasi dan menarik pelaburan asing.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kadar pengangguran juga dijangka menurun kepada 3.5 peratus manakala kadar kemiskinan dikurangkan kepada 2.0 peratus.

Oleh itu, katanya, kerajaan harus mempercepat pendigitalan ekonomi dan menjadikan Malaysia sebuah ekonomi digital yang terkemuka seperti melabur dalam infrastruktur internet berkelajuan tinggi, membangunkan tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi maklumat dan menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam semua sektor ekonomi.

Beliau mengunjurkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin akan mengecil dengan bilangan rakyat Malaysia yang mempunyai kemahiran digital akan meningkat sebanyak 15 peratus.

“Saya juga menjangka bahawa bilangan rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan bandar akan meningkat sebanyak 10 peratus manakala bilangan graduan dengan ijazah STEM akan meningkat sebanyak 20 peratus.

“Namun, ini hanyalah sebahagian daripada jangkaan untuk dua tahun pertama RMK12. Harus diketahui, keputusan sebenar mungkin berbeza-beza bergantung kepada beberapa faktor, seperti keadaan ekonomi global dan keupayaan kerajaan untuk melaksanakan rancangan itu dengan berkesan.

“Bagaimanapun, sekiranya kerajaan berjaya mencapai matlamatnya, maka, RMK-12 boleh meletakkan asas kepada Malaysia yang lebih makmur dan saksama untuk semua.

“Sebab itu kerajaan perlu bekerjasama rapat dengan sektor swasta dan masyarakat sivil untuk mencapai matlamatnya. Di sudut lain, kita tidak boleh menyimpulkan adanya elemen negatif kerana kitaran RMK12 masih belum lengkap,” katanya ketika dihubungi semalam.

RMK-12 merupakan rancangan lima tahun (2021-2025) dibentang Kabinet terdahulu diterajui bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada September 2021, yang memperuntukkan sebanyak RM400 bilion untuk projek pembangunan sedia ada dan baharu.

Ia merupakan peruntukan kewangan terbesar negara yang pernah diluluskan. RMK11 sebelum ini berjumlah RM260 bilion.

Kabinet ketika itu berusaha mencapai pendapatan purata isi rumah mencecah RM10,000 sebulan menjelang 2025, jurang yang mengecil antara KDNK Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak serta pengurangan pelepasan gas rumah hijau.

Ia juga bertujuan memperkenalkan dasar yang hanya membenarkan ekuiti bumiputera dijual kepada individu, syarikat atau konsortium bumiputera.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Dasar dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE), Dr. Zokhri Idris berkata, pembentangan KSP RMK-12 lebih tertumpu kepada mekanisme dan jalan terbaik untuk mencapainya, dan bukannya hasil.

“Dalam kajian separuh penggal ini, impak positifnya kita tahu apa hala tuju negara. Namun, impak negatifnya adalah kita masih terumbang-ambing dalam mekanisme yang tepat, dan sudah pasti ada faktor luaran seperti kelembapan ekonomi dunia.

“Apa yang perlu kerajaan tekankan bukan idea atau bidang baharu, tetapi mekanisme yang konsisten yang mesti disampaikan pada semua peringkat dan agensi,” katanya.

Katanya, ekonomi Malaysia masih bergantung kepada rangka kerja yang sama dan masih belum tamat dari kebergantungan terhadap rantaian bekalan global.

“Selagi terdapat permintaan eksport yang perlahan daripada China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dan tidak perlbagai, kita akan sentiasa terperangkap dalam kitaran ini,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini