PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mendakwa tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak Parlimen daripada membahaskan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan jenayah sebagai tindakan melanggar undang-undang dan penyalahgunaan kuasa yang nyata.
Ketua Whip Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebagai Ketua Majlis Parlimen, Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang kuasa atau hak untuk menentukan atau memutuskan berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat sekiranya terdapat usul yang dikemukakan untuk membahaskan perkara tersebut.
Sebaliknya, kata Takiyuddin, penerimaan atau penolakan usul sedemikian berada dalam bidang kuasa dan budi bicara Yang Dipertua Dewan atau Speaker.
“Di sini jelas bahawa Perdana Menteri membuat kenyataan yang melampaui bidang kuasa dan peranannya sebagai Ketua Majlis dengan mendahului keputusan yang sepatutnya dibuat oleh Yang Dipertua Dewan.
“Dalam isu yang dipertikaikan oleh banyak pihak ini, persoalan sub judice juga tidak timbul kerana kes ini telah pun berakhir apabila pihak Peguam Negara dengan pelbagai alasan yang pelik meletakkan mahkamah dalam keadaan yang tiada pilihan melainkan melepaskan tertuduh walaupun berstatus DNAA.
“Maka, jelaslah perkara ini sepatutnya boleh dibincangkan oleh orang ramai, apatah lagi oleh Ahli Parlimen dalam forum rasmi berkepentingan awam di Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, keperluan untuk kes berkenaan dibahaskan dalam forum tertinggi negara juga semakin perlu dan mendesak memandangkan kesan besarnya bukan sahaja ke atas institusi perundangan dan kehakiman, tetapi juga terhadap imej, integriti kerajaan dan negara di mata rakyat serta masyarakat antarabangsa
Beliau menambah, respons negatif, tidak puas hati dan paling tidak terkejut dalam kalangan banyak pihak, selain perbahasan dan komentar meluas dalam kalangan rakyat juga jelas menunjukkan bahawa kes tersebut dan keputusan Peguam Negara dan mahkamah berkait dengannya adalah petanda jelas tentang kepentingannya.
“PN juga melihat alasan Perdana Menteri bahawa Peguam Negara bukan menteri atau ahli Parlimen bagi menyokong kenyataan beliau menolak perbahasan isu ini di Parlimen amat tidak boleh diterima.
“Selama ini, segala isu perundangan termasuk yang dibangkitkan di Parlimen oleh Perdana Menteri sendiri dan partinya semasa berada di pihak pembangkang dahulu dapat dijawab, malah, diberikan penerangan yang jelas oleh menteri-menteri yang berkaitan termasuk kes mahkamah melibatkan isu 1MDB dan seumpamanya.
“PN amat percaya berdasarkan keadaan tidak positif yang wujud dalam masyarakat berhubung isu ini, maka, keputusan pihak pendakwaan yang membawa kepada penghakiman DNAA tersebut perlu diteliti dan diperiksa oleh Parlimen.
“Hal ini kerana ia berkait rapat dengan soal integriti dan kebolehpercayaan terhadap bukan sahaja Jabatan Peguam Negara, malah PN membayangkan kebarangkalian yang tinggi campur tangan pihak kerajaan sendiri dalam kes ini.
Justeru, kata Takiyuddin, PN menyeru dan mengharapkan agar Yang diPertua Dewan Rakyat membuat petua yang dihormati (respected ruling) berkaitan perkara ini berdasarkan peraturan dan undang-undang yang ada secara adil saksama tanpa gentar dan memihak serta tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak termasuk kerajaan,” katanya.-UTUSAN