ANALISIS: RMK12: Kementerian gulung perbahasan dua hari

ANALISIS: RMK12: Kementerian gulung perbahasan dua hari terakhir mesyuarat Dewan Rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA hari terakhir mesyuarat khas Dewan Rakyat sempena Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada hari ini dan esok menyaksikan kementerian-kementerian berkaitan akan memberi jawapan kepada segala masalah dibangkitkan Ahli Parlimen.

KSP RMK12  menghabiskan pusingan pertamanya minggu lalu menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentang pelan pembangunan negara bernilai RM415 bilion, Isnin lalu, disusuli perbahasan tiga hari pada Selasa hingga Khamis lalu.

Perbahasan itu disertai 151 ahli Parlimen menyuarakan pelbagai isu di kawasan masing-masing antaranya berkait masalah keterjaminan bekalan makanan, pembangunan infrastruktur, ekonomi dan pendidikan.

Apa yang menjadi tumpuan bukan lagi berkenaan RMK12 semata-mata, sebaliknya, kes mahkamah yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung 47 pertuduhan ke atasnya.

Pembangkang ketika itu mendesak supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membenarkan usul dibawa Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk Peguam Negara menjelaskan kes DNAA Ahmad Zahid.

Johari menolak usul itu kerana persidangan yang berlangsung pada masa ini adalah Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang termaktub di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) di bawah kuasa Perdana Menteri.

Pun begitu, beliau tetap memberi ruang kepada Ahli Parlimen untuk membangkitkan perkara itu sama ada dalam celahan atau perbahasan hanya selepas Anwar selesai membentangkan KSP RMK12, baru-baru ini.

Di tengah-tengah pertikaian pembangkang, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Ke-15 Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi memberitahu akan ‘memanggil’ Peguam Negara bagi memberi penjelasan.

Kenyataan itu menimbulkan sangkaan bahawa Peguam Negara seolah-olah diarah hadir ke prosiding jawatankuasa bagi memberi keterangan.

Hanya selepas dua hari, JKPK memaklumkan tidak pernah mengarahkan Peguam Negara dan bekas Peguam Negara hadir ke prosiding bagi memberi keterangan.

Sebaliknya, JKPK menjemput mereka untuk terlibat dalam mesyuarat jawatankuasa bagi menjelaskan beberapa isu berkait percanggahan kuasa terutama bagi kes berprofil tinggi, namun, tidak pula menyebut secara khusus tentang kes mahkamah Ahmad Zahid.

Tidak cukup dengan kes Ahmad Zahid, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mencetus berita nasional menyaksikan beliau berada di blok pembangkang selepas menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan menyebabkan kerajaan hilang sokongan dua pertiga majoriti.

Tindakan itu sebagai bantahan terhadap Ahmad Zahid yang dilepaskan tanpa dibebaskan oleh mahkamah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN