DIANGGARKAN terdapat 28 peratus atau 4,607 daripada 16,456 pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai terdiri daripada bukan Melayu dengan pecahannya 18 peratus Cina, India enam peratus dan lain-lain empat peratus.
Bakinya majoriti pengundi atau 72 peratus kaum Melayu yang dikatakan faktor penting kemenangan calon dan parti yang bertanding dalam pilihan raya tersebut.
Meskipun pengundi bukan Melayu tidaklah sampai 30 peratus, peranan mereka tidak boleh dinafikan kerana setiap undi amat bermakna tiga calon yang bertanding.
Apatah lagi undi Melayu terpecah kepada tiga calon, maka pengundi Cina dan India boleh mempengaruhi pola pengundian PRK Pelangai pada 7 Oktober ini.
Walaupun kecenderungan pengundi bukan Melayu mungkin menyebelahi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam atas alasan sokongan Pakatan Harapan (PH), kelebihan itu tidak boleh diambil mudah sekiranya peratusan keluar mengundi rendah bawah 50 peratus hingga membawa kelebihan kepada calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat.
Lebih-lebih lagi wujud pengundi bukan Melayu khususnya India dilihat hadir ke program ceramah PN kerana mahu menyaksikan ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md. Nor dan ia membayangkan gabungan parti itu semakin diterima masyarakat pelbagai kaum.
Namun begitu, PN pula tidak boleh terlalu mendabik dada dan syok sendiri dengan kehadiran kaum India ke ceramah kerana tidak bermakna mereka bakal mengundi parti itu kerana sepanjang dua minggu berkempen, apa pun boleh terjadi dengan serangan pihak lawan.
Malah MCA dan DAP kini dikatakan sedang giat berkempen untuk menarik sokongan pengundi Cina, begitu juga MIC yang berjanji membawa keluar semua pengundi India mengundi BN pada bulan depan.
Sekiranya ia berlaku maka laluan mudah bagi BN untuk mengekalkan kemenangan Pelangai dan jika andaian meleset, situasi tersebut bakal menguntungkan PN untuk mendapat jumlah undi besar.
Justeru, sama ada BN atau PN mahupun calon Bebas perlu berusaha bersungguh menarik dan bertemu 28 peratus atau 4,607 pengundi bukan Melayu jika ingin menempah kejayaan dalam pilihan raya kecil berkenaan.
Malah ia memberi satu isyarat bahawa pengundi bukan Melayu kini cenderung kepada BN atau PN atau sebaliknya.
Kerusi N36 Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
PRK DUN Pelangai kali ini menyaksikan saingan sengit antara BN dan PN serta Bebas yang masing-masing turun dengan misi wajib menang. – UTUSAN










