Ahli politik jangan celarukan rakyat soal halal, haram - Utusan Malaysia

Ahli politik jangan celarukan rakyat soal halal, haram

SAARANI Mohamad merasmikan Program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2023 di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Biar Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan fatwa tentang halal haram sesuatu perkara dan bukannya orang politik.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sekiranya sesiapa sahaja termasuk ahli politik bebas bercakap soal halal haram, pastinya akan mengundang kecelaruan dalam masyarakat.

Beliau berkata, isu membabitkan hukum dalam agama Islam seharusnya dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Yang benda halal haram ini tidak boleh keluar daripada mulut (sesuka hati). Kalau semua orang keluarkan, ramai orang mempunyai pendapat berbeza. Tidak berasaskan kepada ilmu.

“Biarlah Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan fatwa halal atau haram. Ahli politik termasuk saya sendiri, tolonglah jangan mencelarukan pemikiran orang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2023 di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika berucap pada ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai yang didakwa mengeluarkan ‘fatwa haram’ mengundi calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat dan melarang pengundi di kawasan itu mengundi Suhaizan.

Sementara itu, Saarani yang juga Menteri Besar berkata, kerajan negeri akan meningkatkan kecekapan proses semakan pemohon bantuan golongan miskin sejajar dengan usaha memperkasakan lagi penggunaan digital dan sistem maklumat untuk urus tadbir harian.

Menurutnya, rancangan itu termasuk dari segi usaha bekerjasama mendapatkan maklumat tepat bagi mengesan mereka yang layak menerima bantuan.

Katanya, kerjasama akan dilakukan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan cekap untuk mengesan pemohon-pemohon e-Kasih supaya bantuan dapat diberikan kepada kumpulan sasaran yang betul

“Sudah tentu sistem ini dari masa ke semasa akan terus dibangunkan dan dijayakan dengan inovasi yang lebih baik.

“Saya melihat potensi besar dalam sistem maklumat geografi (GIS) bagi membolehkan kerajaan negeri menggubal dasar, merancang pembangunan, membuat keputusan, pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang.

“Penekanan kepada sistem maklumat mempunyai kesan besar terhadap keputusan dan pengurusan keselamatan, krisis bencana alam seperti banjir serta peluang ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya