SIBU: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghadiri Majlis Santapan Malam Bersama Komuniti di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC), di sini, malam tadi.
Ketibaan Seri Paduka berdua diiringi dengan rampaian muzik tradisional, persembahan tarian kebudayaan Melayu Melanau dan rangkaian lagu-lagu Irama Malaysia.
Pasangan diraja itu juga disambut oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah ketika bertitah mengakui teruja menelusuri sepanjang Lebuhraya Pan Borneo dan berterima kasih dengan penduduk di kedua-dua negeri iaitu Sabah dan Sarawak yang sudi menyambut rombongan mereka.
“Terima kasih kepada penduduk Miri, Bintulu dan Sibu. Saya cukup terharu dengan sambutan luar biasa dari hati ikhlas, rakyat Borneo ini cukup hebat sekali, sanggup menunggu keberangkatan keluarga saya.
“Daripada Tawau sehingga Sibu, saya memandu sendiri sekitar 1,700 kilometer dan Raja Permaisuri seorang ‘co-pilot’ yang baik, menulis segala baik buruk sepanjang perjalanan,” titah baginda.
Pada majlis santapan malam tadi, pasangan diraja itu juga berkenan mendendangkan lagu bertajuk Pesanan Buat Kekasih dan Gurindam Jiwa sebelum ada kejutan iaitu sambutan ringkas hari keputeraan paduka anakanda Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah yang bertarikh hari ini dan hari keputeraan Putera Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pada 17 September ini.
Pada majlis itu, tampil membuat persembahan di hadapan keluarga diraja itu ialah Juara Kategori Klasik Pertandingan Biola Kejohanan Seni Persembahan Dunia Amerika Syarikat, Imran Azim Iskandar, D Render Band dan Nangka’ Dancer.
Keluarga diraja itu dijadualkan menyertai rombongan dari Sibu ke Julau, Sri Aman, Kuching dan berakhir di 0.0 kilometer, Telok Melano pada hari esok.-UTUSAN