Agong mulakan Kembara Kenali Borneo di 0.0 KM Tawau

Agong mulakan Kembara Kenali Borneo di 0.0 KM Tawau

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (lima kiri) dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (enam kanan) semasa pelepasan Kembara Kenali Borneo di 0.0KM Tawau pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Program Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bermula di Monumen 0.0 KM Tawau hari ini.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada pukul 8.30 pagi tadi.

Ketibaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong disambut oleh Tun Juhar dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hadir sama adalah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Kadzim M. Yahya dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahhelmey Yahya.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.

Yang di-Pertuan Agong yang memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda mengetuai konvoi kembara disertai 25 kenderaan.

Kembara Kenali Borneo itu turut disertai anakanda baginda, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.

Walaupun cuaca hujan semasa majlis itu, ia tidak menghalang masyarakat Tawau untuk menyaksikan detik bersejarah berkenaan.

Dalam program Santapan Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Tawau semalam, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan kelegaan apabila melihat sambutan masyarakat Tawau yang teruja dengan ketibaan baginda berdua.

“Saya dan isteri cukup bersemangat dengan apa yang ditunjukkan oleh orang Tawau dan Sabah, sambutan hari pertama sebegini, esok dan lusa mesti lebih hebat,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Fadillah yang berusaha merealisasikan Kembara Kenali Borneo tersebut.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah mahukan seluruh rakyat Sabah dan Sarawak supaya menunjukkan semangat patriotik sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Kembara Kenali Borneo itu membabitkan perjalanan sepanjang 2,149 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam bermula 3 hingga 13 September. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya