PETALING JAYA: Pelakon, Aedy Ashraf, 29, menafikan mempunyai kaitan dengan puisi curang yang ditulis oleh penyanyi, Daiyan Trisha di dalam buku terbaharunya.
Menurut pemilik nama penuh Mohammed Addy Ashraf Rosmadi itu, dia dan Daiyan tidak pernah menjalin hubungan lebih daripada seorang kawan.
“Ada banyak spekulasi membabitkan diri saya baru-baru ini. Di sini, saya ingin memberikan kenyataan mengenainya.
“Ramai menyangka apa yang ditulis oleh kawan saya di dalam bukunya adalah tentang saya. Ia tidak benar.
“Kami tidak pernah mempunyai hubungan romantis dan kami tidak lebih dari sekadar seorang kawan,” katanya pendek dalam satu hantaran di Instagram.
Sebelum ini, beberapa cuplikan sajak di dalam buku terbaharu Daiyan Trisha mengenai perasaan sakit dicurangi menjadi tular sehingga ada warganet yang mengaitkannya dengan Aedy Ashraf memandangkan mereka tidak lagi saling mengikuti akaun masing-masing di laman sosial.
Namun begitu, penyanyi lagu Penat itu menjelaskan cuplikan puisi yang dikongsikan hanyalah sebahagian daripada kandungan daripada buku tersebut.
Daiyan juga enggan bercerita lebih lanjut mengapa kata-kata itu ditulis dan membiarkan warganet untuk membuat interpretasi sendiri.
Sementara itu, dalam hantaran sama, Aedy turut menjelaskan kontroversi membabitkan gambarnya dalam adegan filem terbaharunya, Tebus,
“Saya tidak memberi apa-apa keizinan mengenai gambar tersebut untuk dimuat naik di media sosial. Saya tidak pernah bersetuju untuk bahan-bahan itu dijadikan sebagai promosi.
“Saya percaya ia filem yang bagus dan saya telah letakkan seluruh tenaga, masa dan usaha untuk memastikan filem itu memberikan impak kepada penonton.
“Saya tidak mahu ia mati kerana publisiti murahan. Semua yang saya lakukan adalah demi keluarga, peminat dan rasa kasih sayang,” tambahnya.