Acryl Sani dilantik Pengerusi PUNB - Utusan Malaysia

Acryl Sani dilantik Pengerusi PUNB

ACRYL SANI ABDULLAH SANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) melantik mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Pengerusi PUNB berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan penyandang sebelum ini iaitu Datuk Ahmad Nazlan Idris yang telah melepaskan jawatan pengerusi pada 20 Disember 2022.

Acryl Sani sebelum ini menerajui kepimpinan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sebagai Ketua Polis Negara Ke-13 bermula 4 Mei 2021 hingga 22 Jun 2023.

Ketika ini, beliau juga adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif dan Timbalan Pengerusi Dagang NeXchange Berhad.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan dan warga kerja PUNB merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Acryl Sani dan mengalu-alukan kehadiran beliau di PUNB.

“Kami yakin dapat bekerjasama rapat dengan beliau dan memanfaatkan pengalaman luas serta pandangan strategik beliau dalam pembangunan usahawan Bumiputera di negara ini,” katanya.

Ketika berkhidmat dalam pasukan PDRM, Acryl Sani pernah memegang pelbagai jawatan seperti Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (2018-2020) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (2017), selain pernah menjadi Ketua Polis Perak pada 2013 serta Pesuruhjaya Polis Sarawak (2011-2013).

Beliau memiliki Sarjana Sains (Pengurusan) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya