PETALING JAYA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang didakwa seolah-olah cuba memperbodohkan pihak berkuasa selepas melakukan kunjungan hormat ke kediaman Tun Dr. Mahathir, petang semalam.
Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin mendakwa, ini berikutan polis sepatutnya mengambil keterangan Abdul Hadi semalam, namun ditangguhkan kerana masalah kesihatan yang dialaminya.
Bagaimanapun, dakwanya, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu bersama Setiausaha Agung Pas serta menteri besar dari parti itu melakukan kunjungan ke kediaman Mahathir, semalam.
“Adakah Hadi menipu pihak polis bagi mengelak dari disiasat? Tindakan Hadi jelas dilihat seolah cubaan memperbodohkan pihak berkuasa.
“Sampai bila Abdul Hadi boleh terus menipu untuk mengelak dari disiasat pihak polis.
“Saya berharap pihak polis tidak lagi tertipu dengan taktik lapuk Abdul Hadi bagi mengelak disiasat pihak berkuasa kerana dalam ucapan beliau jelas mempertikai keputusan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan dilihat seolah-olah menentang keputusan institusi diraja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, malam tadi.
Sebelum ini, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dipercayai mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di Markas Pas, Bakri, Muar minggu lalu.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses mengambil keterangan Abdul Hadi ditangguhkan.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Razarudin memberitahu, Abdul Hadi tidak dapat berbuat demikian kerana dilaporkan mengalami masalah kesihatan. -UTUSAN