PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang mati lemas di kolam renang di sebuah pangsapuri di Bangi pada 13 September lalu.
Penahanan yang dilakukan terhadap lelaki yang juga abang tiri mangsa berusia 26 tahun itu dilakukan semalam selepas penelitian menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dia berada di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, suspek dilihat leka melakukan sesuatu sambil melihat sahaja mangsa yang sedang lemas tanpa menyelamatkan mangsa.
“Pada mulanya, satu laporan berkaitan kejadian diterima daripada pegawai perubatan Hospital Serdang yang menerima mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Siasatan mendapati, mangsa maut selepas dipercayai lemas ketika mandi di pangsapuri berkenaan sebelum dibawa ke klinik dan kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang bagi rawatan selanjutnya pada pukul 3 petang,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, kata beliau, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1 petang pada 14 September lalu selepas mendapatkan rawatan dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) pada awalnya.
Mohd. Zaid berkata, suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian.
“Kes disiasat dan diklasifikasi di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730 bagi membantu siasatan,”katanya. -UTUSAN