SELAYANG: Sebanyak 550 orang menyertai program Fun Ride, Run and Zumba 2023 anjuran Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi) di Rawang sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 semalam.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Mahadzir Datuk Syed Manshor berkata, buat kali pertama juga program itu dibuka kepada orang ramai yang bertujuan mempromosi gaya hidup sihat dan meningkatkan semangat patriotik.
“Tahun sebelum ini, kakitangan kami sahaja menyertai larian sejauh lima kilometer (km) tetapi tahun ini kami turut menambah acara zumba dan berbasikal kepada orang ramai yang berminat untuk menyertai.
“Keseluruhan sebanyak 550 orang peserta telah mengambil bahagian iaitu 200 peserta larian, 200 peserta berbasikal dan 150 peserta zumba.
“Aktiviti telah dimulakan seawal 7.30 pagi hingga 12 tengah hari, turut diadakan acara cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik termasuk basikal sebagai hadiah utama,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program tersebut dan pelancaran produk baharu di gudang Adabi, Rawang, semalam.
Syed Mahadzir berkata, beliau berharap program itu dapat diteruskan setiap tahun dengan skala yang lebih besar.
“Peminat tegar Adabi diharap terus menyokong dengan membeli produk-produk kami yang baharu mahupun lama.
“Kami sentiasa berusaha untuk memberikan kualiti yang terbaik untuk semua pembeli kami,” ujarnya. – UTUSAN










