4,719 saman dikeluarkan pada Op Hormat Undang-Undang Fasa 2

4,719 saman dikeluarkan pada Op Hormat Undang-Undang Fasa 2

ANGGOTA polis mengeluarkan saman kepada penunggang motosikal warga asing yang melakukan kesalahan jalan raya pada Operasi Hormat Undang-Undang Fasa 2 bermula hari ini sehingga 29 September nanti ketika tinjauan di Persimpangan Jalan Bukit Bintang di sini, hari ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,719 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan Polis Diraja Malaysia pada Hari pertama Op Hormat Undang-Undang Fasa 2 yang bermula semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kata beliau, dalam operasi itu, kesalahan tertinggi direkodkan adalah halangan lalu lintas dengan 3,712 saman. 

“Kesalahan lain adalah parkir di laluan pejalan kaki atau garisan putih dengan 247 saman; tiada lesen memandu (110); nombor pendaftaran (30); tidak patuh lampu isyarat merah (27); berhenti di petak kuning (7) dan lain-lain (586).

“JPJ turut mengeluarkan 30 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya di sini hari ini.

Sarifudin berkata, polis turut menahan 13 individu yang disyaki terbabit penyalahgunaan dadah dan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Selain itu, katanya, tiga kenderaan iaitu dua motosikal dan sebuah lori turut disita dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Rabu lalu, Polis Kuala Lumpur akan melaksanakan Op Hormat Undang-Undang Fasa 2 bermula 15 September sehingga 29 September ini membabitkan 16 lokasi di sekitar ibu kota.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, operasi penguatkuasaan yang lebih tegas itu akan memfokuskan tujuh jenis operasi iaitu Op Parkir Haram, Op Halangan, Op Lampu Merah, Op Nombor Pendaftaran, Op Cermin Gelap, Op Motosikal dan Op Didik.

Sebanyak 16 lokasi menjadi tumpuan termasuk Persimpangan Jalan Tun Razak, Persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Persimpangan Jalan Raja Laut dan Persimpangan Jalan Sultan Ismail. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN