451 penduduk berpindah akibat banjir - Utusan Malaysia

451 penduduk berpindah akibat banjir

KEADAAN banjir di Kampung Chinggong, Muallim di Tanjung Malim petang tadi. - UTUSAN/IHSAN APM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Seramai 451 orang daripada 87 buah keluarga di Kampung Chinggong, Muallim di sini dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir kilat hari ini.

Hujan berterusan selama lebih dua jam petang tadi menyebabkan air Sungai Behrang melimpah ke kawasan kampung yang menjejaskan 56 buah rumah.

Berikutan itu, mangsa banjir ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Chinggong yang dibuka pada pukul 7.30 malam tadi.

Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Muallim dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian banjir di kampung tersebut pada pukul 6.27 petang dan anggota digerakkan ke lokasi bagi memantau dan membuat penilaian risiko.

Kata kenyataan itu, semasa tiba di kampung tersebut, banjir sudah surut sepenuhnya dan jalan raya kampung boleh dilalui semua jenis kenderaan.

“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Muallim membuat pemantauan di setiap rumah dan anggaran 56 buah rumah dimasuki air namun sudah surut sepenuhnya.

“Berikutan keadaan rumah yang dimasuki air dan tidak boleh diduduki, sebuah PPS dibuka iaitu di dewan orang ramai kampung tersebut,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN