KUALA LUMPUR: Hujan renyai mengiringi paluan berundur Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim yang bersara wajib hari ini.
Selepas 35 tahun menabur khidmat setia kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), majlis paluan berundur beliau diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mat Kassim yang dilahirkan pada 5 Mei 1964 memulakan kerjaya dalam PDRM sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis (C/ASP) pada 28 Februari 1988.
Kemudian, anak kelahiran Kuantan, Pahang itu mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Hayati Dali dan dikurniakan tiga cahaya mata terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuan.
Berdasarkan kepada kredibiliti, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh beliau, Mat Kasim telah memegang pelbagai jawatan termasuk sebagai Komandan Maktab Teknik PDRM Bakri, Johor pada 2016, Timbalan Pengarah Teknikal Operasi Jabatan Logistik dan Teknologi pada tahun 2017.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah (2018), Ketua Polis Melaka (2019), Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman (2020) sebelum dipertanggungjawab mengemudi JSPT pada September 2021.
Sebagai menghargai bakti ditabur Mat Kasim, graduan lulusan Sains Komputer dari Universiti Teknologi Mara itu turut dikurniakan dengan pelbagai anugerah termasuk Darjah Kebesaran Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang, Darjah Kebesaran Pangkat Pertama Panglima Gagah Pasukan Polis dan Panglima Setia Pasukan Polis.- UTUSAN