PETALING JAYA: Ketua Polis Negara mengesahkan sebanyak 22 laporan diterima pihaknya yang tidak bersetuju ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ dianjurkan di ibu negara, esok.
Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan yang diterima pihaknya dibuat oleh pemilik premis serta orang awam.
“Laporan ini dibuat kerana mereka tidak berpuas hati dengan penganjuran himpunan terbabit,” katanya di sini.
Beliau dalam pada itu juga menjelaskan, mengenai himpunan kumpulan ‘Baju Merah’ diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, setakat ini juga, tiada notis pemakluman kepada pihak polis.
Beliau berkata, pihaknya boleh menyiasat pihak yang melakukan himpunan terbabit mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
Katanya, tiada sebab himpunan itu perlu diadakan kerana pihak polis sentiasa memastikan negara dalam keadaan selamat dan terkawal.
“Seperti kenyataan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) yang menyifatkan penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia tidak menghormati sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.
“Polis sentiasa menjaga keamanan dan ketenteraman awam sebaiknya,” ujarnya.
Media melaporkan, tiada notis pemakluman diterima Polis Kuala Lumpur mengenai himpunan yang akan diadakan di ibu negara membabitkan dua kumpulan, esok.
Kumpulan itu adalah ‘Baju Merah’ diketuai oleh Jamal serta Himpunan Selamatkan Malaysia yang dianjurkan Pemuda Perikatan Nasional (PN) bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid dipetik berkata, sepatutnya notis itu diberikan kepada pihak polis dalam tempoh lima hari sebelum hari penganjuran yang dijangka esok.-UTUSAN










