KUALA LUMPUR: Seramai 18 pegawai dan anggota polis Kontinjen Kuala Lumpur dibuang kerja manakala enam diturunkan pangkat dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, tindakan tegas itu diambil bagi memastikan standard perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat.
Katanya, pihaknya melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kuala Lumpur membuka sebanyak 157 kertas siasatan bagi tempoh Januari hingga Ogos.
“Jumlah itu mencatatkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 164 kertas siasatan melibatkan pelbagai salah laku dalam kalangan anggota dan pegawai.
“Antara salah laku dikenal pasti antaranya kegagalan melaksanakan penyeliaan yang berkesan dalam kalangan anggota dan pegawai polis,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Menurutnya , kawalan dan pengawasan tatatertib harus diperkasa selaras dengan Peraturan 3C Pegawai Awam seperti digariskan di bawah Kelakuan dan Peraturan-Peraturan Tatatertib 1993.
“Saya menuntut kepada semua ketua jabatan polis daerah dan ketua penyelia supaya bertanggungjawab atas penyeliaan serta menjalankan pemantauan.
“Jalankan pemantauan tanpa sebaran ‘cover-up’, kronisme dan pilih kasih selain memulakan pendekatan lebih agresif dalam memperkasa Peraturan 3C,” katanya.- UTUSAN