KUBANG PASU: Paras air di empat sungai dalam negeri ini melepasi tahap bahaya sehingga pukul 12 tengah hari semalam, sekali gus menyebabkan beberapa kawasan perumahan serta sekolah dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan sejak pagi kelmarin.
Antara yang terjejas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara di Changlun, di sini apabila kesemua 1,347 murid diarahkan pulang setelah air memasuki bilik darjah masing-masing.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Zainol Abidin Mohamad berkata, ibu bapa dipanggil mengambil anak masing-masing bagi memastikan keselamatan mereka terjaga.
“Melihat air semakin meninggi, pihak sekolah tidak mahu mengambil risiko berkaitan keselamatan pelajar. Berikutan itu, ibu bapa dibenarkan mengambil anak masing-masing.
“Selain itu, guru-guru bersama kakitangan sekolah yang lain bertungkus-lumus menyelamatkan barangan sekolah dengan menempatkannya di tempat lebih tinggi,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, Kampung Paya Nongmi dan Kampung Nangmah yang terletak tidak jauh dari sekolah itu turut dilanda banjir sehingga menyebabkan 123 mangsa daripada 36 keluarga berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun.
Penduduk Kampung Paya Nongmi, Rashidi Dewa, 48, memaklumkan, rumahnya mula dimasuki air bermula kira-kira pukul 6.30 pagi semalam.
“Saya sebenarnya tak sangka rumah kami dinaiki air kerana sudah lama kawasan ini tidak banjir,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain berkata, sebuah lagi PPS dibuka di Kampung Tradisi pada pukul 12 tengah hari semalam.
“Sungai Laka di Kampung Padang Pasir di Changlun antara yang melepasi paras bahaya sekali gus kawasan berdekatan dinaiki air. Kita turut memantau tiga lagi sungai iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman dalam daerah Kota Setar, Sungai Pendang di Pekan Pendang serta Sungai Gurun di Kampung Perupok, Yan,” katanya. – UTUSAN










