JERANTUT: Sebanyak 11 keluarga di Kampung Sempadan, Damak di sini memohon kerajaan negeri menyediakan tapak perumahan baharu dan mendalamkan Sungai Sepan kerana kediaman mereka sering dilanda banjir kilat.
Minggu lalu, air Sungai Sepan naik mendadak pada awal pagi sehingga mangsa terpaksa berpindah ke balai raya kampung itu tanpa dapat menyelamatkan harta benda masing.
Ia kejadian kali ketiga sejak awal tahun ini sehingga mangsa begitu memerlukan kawasan baharu pemindahan kerana tidak sanggup lagi berdepan bencana tersebut yang kerap berlaku ketika hujan lebat dan musim tengkujuh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung (JPKK) Sempadan, Samsuri Salamin berkata, kejadian banjir kilat rumah di pesisir Sungai Sepan ketika hujan lebat berikutan pertembungan ‘kepala air’ dua batang anak sungai, iaitu anak Sungai Relai dan Sungai Cheka lalu masuk ke sungai tersebut.
“Kita begitu berharap kerajaan menyediakan kawasan pemindahan baharu yang lebih selamat bagi penduduk membina rumah supaya mengelakkan banjir kilat yang kerap berlaku antara dua hingga tiga kali setahun sehingga melibatkan kerosakan harta benda,” katanya di Kampung Sempadan di sini.
Samsuri berkata, sebagai alternatif sementara, penduduk berharap kerajaan dapat mendalamkan Sungai Sepan dan dua anak sungai di kampung itu sekurang-kurangnya dapat menampung kapasiti air dan mempercepatkan aliran ketika hujan lebat.
Suri rumah tangga, Rosmaliza Mohamed Sah, 43, berkata, mereka berharap kerajaan negeri menyediakan kawasan baharu untuk tempat tinggal yang selamat dan tidak lagi berdepan banjir kilat.
“Saya tidak mampu lagi berdepan banjir kilat, setiap kali bencana, habis semua barang dalam rumah tidak dapat diselamatkan dan terpaksa menanggung kerugian yang banyak.
“Hal ini kerana air Sungai Sepan yang naik dan melimpah masuk ke rumah tidak dapat dijangka oleh penduduk malah datang secara mendadak kerap berlaku pada awal pagi seperti kejadian ‘kepala air’ minggu lalu dan sebelum ini,” katanya.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak, Haris Salleh Hamzah berkata, untuk jangka masa pendek, usaha pembersihan dan mendalamkan Sungai Sepan akan dilakukan oleh agensi yang berkaitan bagi melancarkan sistem aliran serta kapasiti air ketika hujan lebat.
“Saya telah mendengar rintihan Pengerusi JPKK dan beberapa orang mangsa mahu kawasan baharu lebih selamat untuk berpindah dan perkara ini akan dibawa kepada pengetahuan kerajaan negeri,” ujarnya.-UTUSAN