1.6 juta generasi baharu tinggalkan Felda

1.6 juta generasi baharu tinggalkan Felda

Sejumlah 1.6 juta generasi baharu yang meninggalkan Felda menyebabkan krisis tenaga kerja warga tempatan yang serius dalam sektor perladangan kelapa sawit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Isu perumahan, tiada peluang ekonomi dan aspek kemudahan mendorong 1.6 juta daripada 2.1 juta generasi baharu Felda berhijrah meninggalkan ta­nah rancangan tersebut.

Situasi tersebut menyebabkan Felda terpaksa mencari tenaga kerja asing bagi menguruskan ladang kerana ketiadaan anak-anak muda bagi mengusahakan kelapa sawit dan getah.

Pada masa ini terdapat kira-kira 440,000 generasi baharu yang masih menetap dan bekerja di ladang walaupun masalah tersebut menghimpit warga Felda itu sejak sekian lama di 317 tanah rancangan di seluruh negara hampir 10 tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah keadaan berkenaan menyebabkan terdapat tanah dan rumah peneroka terbiar begitu sahaja kerana generasi baharu Felda tidak berminat meneruskan legasi peninggalan bapa dan datuk mereka setelah melihat soal kebajikan dan pembangunan yang masih dipandang sepi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penasihat Persa­tuan Anak Peneroka Felda Ke­bangsaan (Anak), Datuk Mazlan Aliman berkata, jumlah itu dijangka bertambah kerana kini telah sampai kepada empat generasi pene­ro­ka manakala soal perumahan generasi kedua dan tiada peluang ekonomi serta aspek kemudahan belum ditangani.

Beliau berkata, situasi itu tidak mustahil bakal menyebabkan legasi Felda terbiar begitu sahaja.

Katanya, Felda perlu mewujudkan satu pelan pembangunan generasi baharu peneroka untuk menarik mereka agar terus tinggal di tanah rancangan dengan menawarkan kemudahan seperti pembinaan rumah generasi kedua.

“Seperti di Pengarang, Johor, kewujudan Projek Rapid berhampiran kawasan Felda telah membantu dan menawarkan peluang pekerjaan kepada anak peneroka. Mereka tidak perlu pindah ke bandar, boleh terus tinggal di Felda.

“Namun begitu hampir 80 peratus kawasan Felda seluruh negara tidak perumahan generasi kedua, perkara itu menyebabkan mereka perlu pindah ke kawasan lain,” katanya.

Pada Disember 2022, Persatuan Pemilik Ladang Malaysia (MEOA) memberi amaran negara akan mengalami kerugian teruk dalam sektor perladangan kelapa sawit untuk setahun lagi melainkan kerajaan mempercepatkan proses pengambilan buruh asing.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, generasi baharu Felda tidak boleh mengharapkan kerajaan sahaja untuk meningkatkan kemudahan dan pembinaan rumah dengan mereka perlu mewujudkan satu pasukan khas untuk membawa jalan keluar perkara tersebut.

Katanya, mereka perlu melakukan perancangan untuk merintis segala usaha itu manakala kerajaan pula berperanan memudahkan urusan pengambilan tanah.

Dalam pada itu, tinjauan di Felda Sungai Kemasul di sini mendapati terdapat tanah dan rumah peneroka terbiar dan usang begitu sahaja setelah anak dan cucu berpindah ke kawasan lain selepas peneroka asal meninggal dunia.

Perkara itu diakui oleh generasi ketiga Felda, Muhammad Saufi Asmawi, 28, apabila anak muda Felda kini memerlukan satu lonjakkan ekonomi yang mampu meningkatkan pendapatan mereka dengan tinggal di tanah rancangan itu.

Dia mengakui peluang terhad di penempatan Felda menyebabkan generasi baharu ‘melarikan diri’ ke bandar dan negeri lain untuk mencari pekerjaan dan nafkah demi meneruskan kehidupan seharian.

“Anak-anak muda bukan tidak mahu teruskan peninggalan ibu bapa atau datuk nenek tetapi kami mahu peluang ekonomi di Felda agar dapat meneruskan usaha-usaha mereka selama ini. Misalnya program peternak muda yang dilihat dapat menarik belia-belia untuk bekerja.

“Kalau boleh wujudkan satu zon ekonomi di samping bantuan modal agar kami membangunkan ekonomi di samping dapat menarik generasi baharu agar terus tinggal di sini walaupun memiliki segulung ijazah,” katanya ketika ditemui di Felda Sungai Kemasul baru-baru ini.

Pada masa sama, seorang lagi generasi kedua Felda yang mahu dikenali sebagai Kassim, 35, berkata, perumahan generasi kedua juga dilihat menjadi penghalang minat anak muda Felda enggan tinggal di penempatan itu walaupun mereka tidak mempunyai masalah untuk mewarisi legasi bapa atau datuk mereka.

Katanya, sehingga kini belum nampak pembangunan rumah generasi kedua di Felda Sungai Kemasul meskipun terdapat usaha untuk menjayakan hasrat tersebut di samping tapak tanah juga telah dikenalpasti.

“Seperti saya, memandangkan belum ada nampak janji (rumah generasi kedua Felda) terpaksa tinggal dengan ibu bapa walaupun sudah berumah tangga. Kami tiada pilihan lain jika ingin mahu tinggal di Felda,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Sungai Kemasul, Ismahazim Mohamad berkata, semua masalah itu pernah dibangkitkan kepada pengurusan atasan Felda namun ekoran peralihan lembaga pengarah ekoran empat kali pertukaran kerajaan selama ini menyebabkan perkara itu tergendala.

Katanya, MBFM dan Kami Anak Felda (KAF) tidak pernah putus asa memperjuangkan nasib generasi baharu Felda dengan sentiasa membawa isu membelenggu selama ini dapat diselesaikan dengan segera.

“Setiap kali pilihan raya, isu-isu seperti ini amat sensitif kepada warga Felda. Namun kita sentiasa berbincang dengan pengurusan Felda agar hasrat rumah kedua Felda dapat direalisasikan dengan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN