KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md. Noor dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional di bawah kepimpinan baharu penggal ini yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Pelantikan yang diumumkan selepas mesyuarat Exco pertama kerajaan negeri di Wisma Darul Iman semalam sekali gus menafikan dakwaan hal ehwal kebajikan golongan wanita di negeri ini diabaikan berikutan tiada wanita dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco),
Zuraida yang juga satu-satunya Ahli Dewan Undangam Negeri (ADUN) wanita di Terengganu akan menggalas tanggungjawab itu untuk membantu Exco bagi portfolio tersebut iaitu ADUN, Ajil, Maliaman Kassim.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zuraida berkata, ketiadaan Exco wanita dalam barisan Exco negeri Terengganu hanyalah isu kecil yang diperbesarkan pihak tertentu.
“Sebaliknya, Pas adalah parti yang sangat mengutamakan kebajikan hal ehwal wanita dengan pelantikan ADUN Wanita yang dilantik tanpa proses pilihan raya sebaik sahaja membentuk kerajaan negeri di Terengganu pada tahun 2018.
“Itu adalah bukti betapa prihatinnya Pas Terengganu dalam mengangkat isu-isu kewanitaan dan memperkasa peranan golongan wanita agar tidak terpinggir di negeri ini.
“Kali ini, peranan sebagai Timbalan Exco untuk portfolio berkaitan wanita akan memberi lebih banyak nilai tambah terhadap tanggungjawab kerajaan negeri membela nasib wanita di Terengganu,” katanya.
Zuraida berkata, sepanjang menjadi Adun Wanita pada penggal yang lepas, beliau banyak dibantu oleh barisan Exco dalam membawa suara wanita ke peringkat pimpinan tertinggi negeri.
“Semua permintaan wanita diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri melalui penganjuran program yang mengetengahkan bakat, kemahiran dan kepimpinan wanita dalam pelbagai bidang.
“Saya sangat optimis, perjuangan membela dan mengangkat martabat wanita akan diperhebatkan lagi oleh barisan kepimpinan Exco yang baharu ini,” katanya. – UTUSAN










