KEPALA BATAS: Walaupun kebanyakan restoran menampilkan ciri hiasan moden, masih ada pengusaha yang mempromosikan gaya hidup retro bagi menarik minat pelanggan.
Seorang anak muda dari Kampung Lahar Tiang di sini, Muhammad Zaini Md Radzi, 29, membina warung Kopi Khita yang menampilkan ciri-ciri bertemakan tahun 1970-an.
Katanya, konsep warung tersebut menghidangkan minuman kopi dan makanan seperti biskut tawar secara percuma kepada pengunjung sambil ‘disajikan’ dengan dekorasi sederhana ala 1970-an.
“(Idea) asalnya adalah untuk wujudkan tempat bergambar buat keluarga, sanak-saudara dan kenalan kampung yang datang berhari raya di rumah yang terletak di hadapan warung.
“Namun, memandangkan rumah agak sempit, saya bina warung ini sebagai tempat bergambar yang bertemakan tahun 1970-an kerana amat meminati era tersebut.
“Tak sangka pula warung ini tular dalam media sosial TikTok tahun ini dan ramai orang menghubungi saya bagi mengetahui lokasinya kerana tertarik dengan vibes yang ditonjolkan,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Kata anak bongsu dari dua beradik itu, ramai beranggapan warung miliknya itu menyediakan makanan dan minuman, namun ia sekadar tempat ‘lepak’ penduduk kampung sambil menghirup kopi dan makan biskut kering.
“Tiada sebarang caj dikenakan kepada mereka yang datang ke sini, sebaliknya dijamu dengan hidangan kopi panas atau sejuk dan sirap selasih serta biskut kering atau orang utara panggil roti kering sahaja. Seperti zaman dulu-dulu.
“Warung Kopi Khita ini bukanlah premis perniagaan. Ia umpama warung ‘singgah’ untuk orang datang bersembang sambil menikmati air kopi di sini,” katanya yang bekerja sendiri.
Menurutnya, dekorasi barangan lama yang dipamerkan di warungnya seperti papan tanda, teko, tin biskut lama, mangkuk tingkat, majalah, surat khabar lama dan lain-lain barangan antik dilihat mampu menyerlahkan lagi suasana tahun 1970-an.
“Selain mendapatkan barangan lama di pasar karat dan kedai besi buruk, ada dalam kalangan pengunjung turut menyumbangkan barang-barang lama bagi menghidupkan suasana warung ini,” katanya yang mempunyai hampir 100 koleksi barangan vintaj.
Dia yang bercita-cita untuk menjadi usahawan berkata, jika ada rezeki buat pengunjung yang bertandang ke warungnya, mereka akan berpeluang merasai beberapa jenis juadah yang disediakan oleh penduduk kampung secara percuma. – UTUSAN










