KLANG: Waris dan keluarga penghantar makanan, Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, tiba di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini pagi ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa ahli keluarganya berada di luar pekarangan jabatan tersebut, kira-kira pukul 8.20 pagi.
Terdahulu, sebuah van jenazah milik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tiba dipercayai akan menghantar jenazah arwah ke Sidam, Sungai Petani, Kedah.
Pengesahan lanjut mengenai identiti satu jenazah yang diserahkan kepada waris akan dibuat Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam tempoh terdekat.
Lebih 20 pengamal media memenuhi pekarangan Jabatan Forensik bagi mendapatkan perkembangan lanjut urusan tuntutan jenazah 10 mangsa.
Terdahulu, Hussien memaklumkan identiti mangsa akan didedahkan kepada media selepas pihaknya memaklumkan kepada waris.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, proses bedah siasat dan pengecaman kesemua 10 mangsa nahas itu dijangka siap seawal Isnin ini..
Proses termasuk pengesanan identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) itu mengambil masa kerana Jabatan Kimia harus membuat pengecaman cebisan anggota badan mangsa.
Nahas pesawat persendirian ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, kelmarin mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Muhamad Hafiz yang juga anak sulung daripada lima beradik adalah pekerja p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian dan menjadi antara 10 mangsa yang maut dalam nahas tersebut.
Berita pemergian Allahyarham Muhamad Hafiz juga mencuri perhatian orang ramai ekoran kejadian yang tidak disangka-sangka terjadi kepadanya ketika sedang keluar mencari rezeki. – UTUSAN