KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung kewujudan Team A dan B dalam DAP merujuk kepada sebilangan kecil pemimpin DAP yang mempunyai pendapat bercanggah dengan pimpinan utama parti tersebut.
Ahmad Zahid berkata, beliau sudah membaca respon Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang menafikan kewujudan dwipasukan dalam parti dan beliau turut bersetuju dengannya.
Jelas beliau, maksud kenyataannya semasa menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, semalam adalah merujuk kepada sebilangan kecil pemimpin DAP yang mempunyai pendapat bercanggah dengan pimpinan utama parti tersebut.
“Terdapat kenyataan-kenyataan yang bercanggah dari segelintir kecil pimpinan DAP terhadap apa yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
“Maka diperjalaskan bahawa isu-isu dibangkitkan itu bukan merupakan asas kepada keputusan rasmi parti tetapi dibangkitkan oleh mereka yang merupakan satu kumpulan kecil terhadap apa yang dinyatakan oleh Muhamad Akmal,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTCKL), hari ini.
Tambah Ahmad Zahid, kenyataannya itu merupakan satu gambaran sahaja dan bukan keabsahan mengenai kewujudan pasukan di dalam.
“Jika itu menyinggung DAP, saya menarik balik apa yang saya sebutkan itu tetapi tidak langsung menjadi maksud kepada saya untuk menggambarkan bahawa terdapat wujud dua kem di dalam parti berkenaan
“Cuma mungkin terdapat perbezaan pendapat yang kecil dan ini disebut juga oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan bahawa kita tidak seharusnya mengambil pandangan daripada kumpulan yang berbeda pendapat dengan kepimpinan utama DAP
“Terutama apabila ia bukan daripada pendirian parti itu atau pendirian rasmi dari parti itu,” katanya.
Pagi ini, Anthony Loke menafikan dakwaan Ahmad Zahid bahawa kenyataan yang bercanggah daripada kepimpinan utama parti itu datang daripada ‘Pasukan B’.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut menolak dakwaan kononnya perkara itu dimaklumkan sendiri oleh beliau kepada Ahmad Zahid, sambil menegaskan tidak wujud pasukan A, B atau C dalam DAP.
Terdahulu, Ahmad Zahid di dalam ucapan penangguhan PAU 2025 semalam mendakwa, kenyataan bertentangan yang dikeluarkan daripada kepimpinan utama DAP datangnya daripada ‘Pasukan B’. – UTUSAN










